Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Selari dengan pelaksanaan peraturan berkaitan e-dagang bermula 24 Jun, platform utama meminta penjual untuk menyediakan huraian produk dalam bahasa Melayu.

Nanyang Siang Pau melaporkan, platform Shopee, Lazada, dan TikTok Shop telah mengeluarkan pengumuman tergempar kepada semua peniaga pada 19 Jun, meminta mereka mengemas kini kandungan dalam talian selari dengan peraturan yang akan dikuatkuasakan.

Arahan itu mengejutkan ramai, khususnya peniaga tempatan dan luar negara yang hanya menggunakan bahasa Inggeris dalam huraian produk.

Selain menambah kerja, penggunaan bahasa Melayu juga dikhuatiri menjejaskan pencarian produk secara dalam talian.

“Saya mempunyai 600 produk yang perlu diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu, macam mana ni,” kata seorang peniaga.

Peniaga menegaskan, mereka tidak membantah penggunaan bahasa Melayu, tetapi bimbang pengguna sukar mencari produk yang diinginkan jika semua produk dipapar dalam bahasa Melayu.

Berdasarkan arahan yang dikeluarkan Shopee, selari dengan peraturan berkaitan e-dagang, peniaga perlu memenuhi tiga syarat, termasuk memaparkan nama penjual, nama syarikat, telefon, e-mel, dan laman web jika ada.

Selain itu, huraian produk harus disediakan dalam bahasa Melayu manakala produk tertentu dalam kategori kesihatan dan keselamatan harus menampilkan dokumen dan sijil berkenaan.

Shopee pada mulanya menyatakan, huraian dalam bahasa Melayu harus dilaksanakan sebelum 24 Jun, tetapi kemudian memberitahu, tarikh akhir itu telah dikaji semula dan tarikh baharu akan diumumkan.

Platform beli-belah itu juga memberitahu, bakal memperkenalkan fungsi penterjemahan secara automatik bagi membantu komunikasi antara penjual dan pembeli.

Sementara itu, platform Lazada pula memberitahu, kegagalan memenuhi syarat yang ditetapkan, termasuk huraian dalam bahasa Melayu, akan mengundang penalti platform ke atas peniaga.

Selain itu, peraturan mengenai e-dagang adalah berasaskan kepada Akta Perlindungan Pengguna 1999, bermakna pesalah juga boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Kajian Semakan Semula Perundangan E-Dagang yang dimulakan sejak April tahun lepas dijangka selesai Ogos ini.

Beliau berkata, semakan bertujuan mewujudkan kerangka undang-undang lebih responsif dalam mengawal selia industri e-dagang dan melindungi kepentingan pengguna.

Kajian itu berada di fasa akhir, sebelum segala cadangan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bagi pertimbangan dan kelulusan, seterusnya dikemukakan ke Parlimen untuk penggubalan atau pindaan undang-undang berkaitan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast