KUALA LUMPUR – Pesawat CN235-220M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) pada pagi ini akibat masalah ‘nose landing gear’ (komponen pendaratan hadapan).
TUDM berkata, insiden jam 11.15 pagi membabaitkan pesawat dari No1 Skuadron Pengkalan Udara Kuching.
Jelasya, kemalangan berlaku semasa pendaratan ketika pesawat tersebut selesai melakukan tugasan penerbangan logistik daripada Labuan dan Kota Kinabalu.
“Kesemua anak kapal dan penumpang selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurut kenyataan itu, TUDM akan menubuhkan satu lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Kejadian tersebut menyebabkan landasan di lapangan terbang tersebut ditutup sementara bagi memudahkan pemindahan pesawat terbabit serta kerja-kerja pembersihan landasan.
Pada 6 Mei lalu, sebuah pesawat pejuang Hawk mengalami masalah sama ketika melakukan pendaratan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH).
Pesawat tersebut terlibat dalam latihan ‘Opening Gambit’ untuk acara pembukaan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25). – MalaysiaGazette















