GEORGE TOWN – Pulau Pinang mencatatkan sebanyak RM6.7 bilion pelaburan pembuatan yang diluluskan bagi suku pertama tahun ini, sekali gus menjadi penyumbang kedua tertinggi pelaburan pembuatan di Malaysia, selepas Sabah.
Jumlah ini merangkumi 22 peratus daripada keseluruhan pelaburan negara untuk tempoh tersebut.
Menurut Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, sebanyak 36 projek pembuatan telah diluluskan dengan 4,577 peluang pekerjaan baharu dijangka diwujudkan.
Beliau berkata, 90 peratus daripada jumlah pelaburan tersebut, atau RM6.1 bilion, merupakan pelaburan langsung asing (FDI), memperkukuh peranan negeri itu sebagai hab global untuk pembuatan berteknologi tinggi dan inovasi.
“Sebanyak 79 peratus disalurkan ke sektor elektrik dan elektronik (E&E), manakala 15 peratus lagi ke sektor mesin dan peralatan.
“Dari segi negara asal pelabur, Amerika Syarikat mengetuai dengan RM2.4 bilion, diikuti oleh Hong Kong (RM1.3 bilion) dan Taiwan (RM1.1 bilion). Tiga negara ini kekal sebagai penyumbang pelaburan terbesar ke Pulau Pinang.
“Prestasi ini selari dengan kejayaan tahun 2024, di mana Singapura melabur sebanyak RM4.0 bilion, diikuti AS (RM2.9 bilion) dan Taiwan (RM2.1 bilion),” katanya pada sidang media hari ini.
Mengulas lanjut Kon Yeow menyifatkan pelaburan ini sebagai bukti keyakinan berterusan syarikat teknologi global terhadap kekuatan ekosistem industri negeri ini.
“Pulau Pinang kini memberi tumpuan kepada sektor bernilai tinggi seperti reka bentuk litar bersepadu (IC design), pembungkusan lanjutan dan peralatan berketepatan tinggi, selaras dengan Strategi Semikonduktor Nasional.
“Sektor baharu lain yang sedang dibangunkan termasuk teknologi perubatan dan perkhidmatan perniagaan global (GBS).
“Bagaimanapun, angka pelaburan suku pertama ini dimulakan sejak tahun 2024 dan kesan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat pada awal 2025 dijangka akan mula dirasai dalam suku kedua dan seterusnya,” katanya. – MalaysiaGazette
















