Muhammad Abdullah Selamat menjadik juara Cabaran Joran Ampang Jaya 2025 yang berlangsung di Tasik Pandan Perdana semalam.

AMPANG JAYA – Lepas 10 tahun mencuba, akhirnya Muhammad Abdullah Selamat, 51, dari Beranang dekat sini berjaya menaiki podium juara Cabaran Joran Ampang Jaya 2025 yang berlangsung di Tasik Pandan Perdana semalam.

Beliau yang bekerja di sebuah syarikat swasta menewaskan 513 peserta dari seluruh negara apabila berjaya menaikkan ikan patin seberat 4.660 kilogram pada pukul 11.18 pagi menggunakan umpan roti berperisa strawberi. Kejayaan itu melayakkan beliau membawa pulang wang tunai RM4,000.

“Sudah lama saya tunggu nak rasa berdiri atas podium akhirnya termakbul juga. Alhamdulillah, rezeki memang tak sangka. Saya akan gunakan sebaik mungkin,” katanya yang telah lebih 20 tahun aktif dalam dunia memancing.

Beliau berkata, ia merupakan kali pertama bergelar juara setelah sekian lama menyertai pelbagai pertandingan tanpa pernah memenangi tempat pertama.

Naib juara disandang Mohd Ariffin Ahmad, 49, dari Kampung Pandan yang menaikkan ikan patin seberat 2.865 kilogram dan membawa pulang RM1,000.

Tempat ketiga pula dimenangi Ahmad Alakhiri Ayob, 42, dari Rawang dengan tangkapan ikan keli seberat 1.865 kilogram, menerima hadiah RM700.

Pertandingan bermula seawal 8.30 pagi hingga 12.30 tengah hari itu menarik penyertaan pemancing dari seluruh negara termasuk Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Melaka.

Antara spesies ikan yang berjaya dinaikkan termasuk patin, haruan, lekoh, puyu, raja, tilapia, ikan bandar raya, ketutu, lampam dan peacock bass.

Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Hasrolnizam Shaari berkata, pertandingan itu bukan sahaja menyemarakkan semangat persaingan sihat, tetapi juga membantu mempromosikan kawasan tasik sebagai destinasi pelancongan komuniti.

“Saya berpuas hati dengan sambutan yang diterima. Kehadiran peserta dari pelbagai kaum dan peringkat umur membuktikan sukan memancing mampu merapatkan hubungan masyarakat. Melihat kepada sambutan yang memberangsangkan, kami bersetuju agar acara ini dijadikan program tahunan,” katanya.

Tambah beliau, penganjuran acara itu juga selari dengan usaha menyokong Tahun Melawat Selangor 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026, khususnya dalam memperkukuh tarikan pelancongan rekreasi komuniti.

Program dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk MPAJ dan Airfour Classic serta disokong oleh Tourism Malaysia dan rakan strategik Ryoko.

Majlis perasmian dan penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Yew Jia Haur. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast