KUALA LUMPUR – Ketua Cabang Hulu Selangor, Dr Sathia Prakash Nadarajan menyambut baik dan menyokong penuh cadangan yang mengutamakan pengambilan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) tempatan berbanding pekerja asing.
Menurut beliau, langkah tersebut yang dibangkitkan oleh Menteri Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani dan disokong Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mampu membawa pelbagai kebaikan kepada rakyat serta ekonomi negara.
Cadangan itu antara lain mencadangkan agar syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan vendor diwajibkan mengambil graduan TVET tempatan dengan tawaran gaji minimum sebanyak RM3,000 sebulan.
“Ia adalah langkah progresif yang memberi peluang pekerjaan bermaruah dan berpendapatan tinggi kepada anak muda kita,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Dr Sathia berkata, inisiatif tersebut akan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing serta membina tenaga kerja tempatan yang lebih berkemahiran dan berdaya saing.
Katanya, cadangan itu wajar dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh oleh semua kementerian dan kerajaan negeri, seperti yang ditegaskan Timbalan Perdana Menteri.
Dr Sathia turut menggariskan lima manfaat utama jika dasar itu dilaksanakan sepenuhnya iaitu graduan TVET akan memperoleh kestabilan kewangan melalui gaji minimum RM3,000 yang dapat membantu mengurangkan kos sara hidup serta meningkatkan taraf hidup keluarga.
Beliau berkata dasar ini dapat mengurangkan aliran keluar mata wang negara dan menangani isu sosial yang sering dikaitkan dengan pekerja asing.
Tambahnya lagi, kerjasama antara industri dan institusi TVET dapat memastikan latihan sejajar dengan kehendak pasaran kerja, melahirkan graduan yang bersedia untuk bekerja.
Katanya, pendapatan lebih tinggi akan meningkatkan kuasa beli rakyat seterusnya merancakkan sektor perkhidmatan dan peruncitan.
“Semua pihak termasuk kementerian, agensi dan kerajaan negeri perlu bekerjasama bagi memastikan laluan latihan ke pekerjaan lebih lancar dan berkesan,” katanya.
Sathia juga menyeru agar Jemaah Menteri segera mempertimbangkan dan meluluskan cadangan tersebut.
“Ini peluang keemasan untuk kerajaan membuktikan komitmen membina masa depan rakyat dan melonjakkan ekonomi negara ke tahap lebih tinggi,” katanya.
















