NIBONG TEBAL – Sebuah galeri peringatan khas bagi mengenang jasa dan legasi Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi bakal dibangunkan di kawasan Vision Park Bertam, Kepala Batas dekat sini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, projek Galeri Tun Abdullah Ahmad Badawi itu akan dilaksanakan di atas sebidang tanah seluas 0.8 hektar (dua ekar) yang telah dikenal pasti.
Beliau berkata, kerja-kerja susulan dan pembangunan galeri tersebut akan diserahkan sepenuhnya kepada Jabatan Arkib Negara Malaysia.
“Mudah-mudahan projek Galeri Tun Abdullah ini akan menjadi kenyataan. Pemilihan tapak telah dimuktamadkan dan Jabatan Arkib Negara telah melakukan lawatan awal.
“Kita akan serahkan kepada pihak Arkib Negara untuk merealisasikan cadangan yang asalnya dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, bagi mewujudkan galeri peringatan di kampung halaman beliau di Bertam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penamaan Semula Lebuhraya Bandar Cassia kepada Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi di Bandar Cassia di sini, hari ini.
Penamaan semula jalan sepanjang 5.45 kilometer dari Jalan Batu Kawan hingga ke Lingkaran Cassia Selatan itu adalah sebagai penghormatan tulus dan ikhlas kerajaan negeri terhadap sumbangan besar Allahyarham Tun Abdullah dalam pembangunan negara.
Hadir sama anak Allahyarham, Tan Sri Kamaluddin Abdullah, ADUN Bertam, Reezal Merican, barisan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta pimpinan UMNO negeri.
Sementara itu, Reezal Merican ketika ditemui melahirkan rasa syukur kerana cadangan yang diperjuangkannya selama ini akhirnya akan direalisasikan.
“Galeri ini akan menjadi simbol legasi Allahyarham Tun Abdullah yang telah banyak berjasa kepada negara. Ia akan menempatkan koleksi sumbangan serta pencapaian beliau sepanjang menjadi Perdana Menteri kelima.
“Kita juga akan pamerkan bahan-bahan peribadi beliau yang belum pernah ditonjolkan kepada umum sebelum ini.
“Pembinaan mengambil masa dan kos. Buat masa ini saya telah memohon peruntukan dari kerajaan pusat dan perkara ini sedang dibincangkan bersama pejabat Ketua Setiausaha Negeri,” katanya.
“Dalam pada itu, Kamaluddin turut menzahirkan rasa terharu dan berterima kasih atas penghargaan kerajaan negeri terhadap Allahyarham bapanya.
“Saya amat tersentuh dan gembira dengan pengumuman ini, lebih-lebih lagi kerana ia dibuat di kampung halaman ayahanda kami.
“Kami sekeluarga amat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan semua pihak yang terlibat,” katanya.
Galeri ini dijangka bukan sahaja menjadi pusat penghargaan kepada jasa Allahyarham Tun Abdullah, tetapi turut berperanan sebagai pusat rujukan sejarah dan pendidikan kepada masyarakat, khususnya generasi muda.
Untuk rekod, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada 14 April lalu.
Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia yang kelima dan menjadi Ahli Parlimen Kepala Batas ari 1978 hingga 2008. – MalaysiaGazette















