KUALA LUMPUR – Malaysia mencatatkan kadar inflasi 1.2 peratus pada Mei 2025, paras terendah dalam tempoh 51 bulan dengan mata indeks mencatatkan 134.4 berbanding 132.8 pada bulan yang sama tahun sebelumnya.
Kumpulan makanan & minuman yang menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP meningkat perlahan 2.1 peratus pada Mei 2025 (April 2025: 2.3%) didorong oleh subkumpulan makanan di rumah yang tidak merekodkan sebarang peningkatan pada Mei 2025 berbanding April 2025 yang meningkat 0.5 peratus.
Meskipun begitu, subkumpulan makanan di luar rumah menunjukkan peningkatan lebih tinggi, 4.4 peratus berbanding 4.3 peratus pada bulan sebelumnya.
Selain itu, kumpulan penjagaan diri, perlindungan sosial & pelbagai barangan & perkhidmatan, 3.7 peratus (April 2025: 4.1%); pendidikan, 2.2 peratus (April 2025: 2.3%); perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain, 1.7 peratus (April 2025: 2.0%); rekreasi, sukan & kebudayaan, 0.9 peratus (April 2025: 1.3 ) dan minuman alkohol & tembakau, 0.6 peratus (April 2025: 0.8%) turut meningkat perlahan pada Mei 2025.
Di samping itu, kumpulan pengangkutan (0.7%) dan insurans & perkhidmatan kewangan (1.5%) meningkat pada kadar yang sama direkodkan pada bulan sebelumnya.
Sementara itu, terdapat kumpulan yang mencatatkan peningkatan lebih tinggi berbanding April 2025 iaitu restoran & perkhidmatan penginapan, 3.0 peratus (April 2025: 2.9%), kesihatan, 1.1 peratus (April 2025: 0.9%) dan hiasan, perkakasan & penyelenggaraan isi rumah, 0.2 peratus (April 2025: 0.1%).
Sebagai tambahan, maklumat & komunikasi dan pakaian & kasut masing-masing kekal berada pada jajaran negatif iaitu negatif 5.2 peratus dan negatif 0.2 peratus.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, 59.7 peratus item (342 daripada 573) merekodkan kenaikan harga namun 330 item (96.5%) mencatatkan peningkatan kurang atausama dengan 10 peratus, manakala 12 item merekodkan kenaikan melebihi 10 peratus pada Mei 2025.
Jabatan Perangkaan Malaysia berkata, trend inflasi rendah yang direkodkan Malaysia selari dengan peningkatan perlahan di Eurozone (1.9%), Korea (1.9%), Indonesia (1.6%) dan Filipina (1.3%), selaras dengan penurunan harga minyak dunia.
Sementara itu, 180 item (31.4%) menunjukkan penurunan dan 51 item kekal tidak berubah, dan sedikit sebanyak mengekang inflasi daripada terus meningkat lebih tinggi.
Inflasi subkumpulan makanan di rumah tidak merekodkan sebarang perubahan pada Mei 2025 walaupun inflasi kelas perbelanjaan makanan sedia dimakan & produk makanan lain tidak terkelas di tempat lain; ikan & makanan laut lain; minyak & lemak dan gula, manisan & pencuci mulut meningkat pada Mei 2025.
Terdapat juga kelas perbelanjaan yang merekodkan penurunan seperti sayur-sayuran; susu, produk tenusu lain & telur; bijirin & produk bijirin dan daging yang telah mengimbangi inflasi subkumpulan ini daripada terus meningkat.
Selain itu, kelas perbelanjaan daging turut menurun kepada negatif 0.3 peratus pada Mei 2025 (April 2025: -0.1%) terutamanya disumbangkan oleh daging lembu tempatan dan bahagian ayam (sejuk beku) yang masing-masing kekal dalam jajaran negatif iaitu negatif 4.0 peratus (April 2025: -3.9%) dan negatif 4.2 peratus (April 2025: -3.2%).
Bagaimanapun, ayam segar yang merupakan komponen terbesar (32.6%) dalam kelas perbelanjaan daging meningkat perlahan kepada 2.0 peratus pada Mei 2025 (April 2025: 2.3%).
Berdasarkan pengumpulan data oleh pihak DOSM, purata harga Ayam standard Malaysia pada Mei 2025 adalah RM10.63 sekilogram berbanding RM10.42 sekilogram pada bulan Mei 2024 (April 2025: RM10.37).
Manakala, purata harga ayam standard di Semenanjung Malaysia bagi Mei 2025 adalah RM9.94 sekilogram berbanding RM9.71 sekilogram pada Mei 2024 (April 2025: RM9.63).
Inflasi bagi kumpulan perumahan, air, elektrik, gas & bahan api lain meningkat perlahan 1.7 peratus pada Mei 2025 berbanding 2.0 peratus pada April 2025 didorong oleh subkumpulan sewa sebenar untuk kediaman dan bekalan air & pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan rumah kediaman dengan masing-masing meningkat perlahan kepada 1.9 peratus (April 2025: 2.3%) dan 0.5 peratus (April 2025: 0.9%).
Manakala, penyelenggaraan, pembaikan & keselamatan rumah kediaman mencatatkan peningkatan lebih tinggi pada 4.9 peratus (April 2025: 4.7%).
Sementara itu, kumpulan kesihatan meningkat pada kadar lebih tinggi 1.1 peratus pada Mei 2025 berbanding 0.9 peratus pada bulan sebelumnya disumbangkan oleh peningkatan bagi subkumpulan perkhidmatan penjagaan pesakit luar kepada 2.9 peratus (April 2025: 2.8%), penjagaan pesakit dalam hospital, 1.7 peratus (April 2025: 1.2%) dan ubat-ubatan & produk kesihatan, 0.6 peratus (April 2025: 0.5%).
Inflasi pengangkutan kekal meningkat 0.7 peratus bagi tempoh empat bulan berturut-turut walaupun subkumpulan perkhidmatan pengangkutan awam mencatatkan peningkatan 1.3 peratus (April 2025: -2.8%), namun ia diimbangi peningkatan lebih perlahan subkumpulan pengurusan peralatan pengangkutan persendirian kepada 0.6 peratus pada Mei 2025 berbanding 0.9 peratus pada April 2025.
Mohd Uzir menambah, 11 negeri merekodkan peningkatan di bawah paras inflasi nasional, 1.2 peratus dengan Kelantan merekodkan peningkatan terendah sebanyak 0.3 peratus pada Mei 2025.
Tetapi lima negeri merekodkan peningkatan melebihi paras inflasi nasional iaitu Johor (1.8%), Negeri Sembilan (1.6%), Selangor (1.5%), Melaka (1.5%) dan Kuala Lumpur (1.4%). – MalaysiaGazette
















