Program komuniti bertemakan “Masak Beramai, Makan Semejo” anjuran Komander Kesatria UiTM Kampus Seremban

RANTAU – Program komuniti bertemakan “Masak Beramai, Makan Semejo” anjuran Komander Kesatria UiTM Kampus Seremban mencipta memori berharga apabila lebih 60 sukarelawan yang terdiri daripada 40 mahasiswa dan 20 ahli kariah Masjid Imam Haji Kahar telah berganding bahu dalam aktiviti gotong-royong memasak secara rewang, sempena Karnival Kayuhan Mahasiswa Sihat Bersama Komuniti DUN Rantau.

Bertempat di Dewan Komuniti Rantau, program ini bukan sahaja berjaya menyediakan hidangan untuk lebih 400 pengunjung, malah telah menyatukan komuniti setempat dan institusi pendidikan tinggi dalam satu ikatan kemasyarakatan yang harmoni.

Menurut Ketua Unit Kokurikulum UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kapten (B) Muhamad Affandi Ahmad, inisiatif ini menjadi medan pembangunan sahsiah mahasiswa melalui pengalaman lapangan sebenar.

Katanya, tiga impak utama yang ditekankan dalam program tersebut antaranya adalah nilai kesukarelawanan dan kepimpinan yang mana mahasiswa berpeluang memimpin, merancang dan melaksanakan aktiviti dalam suasana sebenar, di luar bilik kuliah.

Selain itu, ia juga penting dalam mengukuhkan jalinan mahasiswa dan komuniti kerana aktiviti dilaksanakan secara hands-on membolehkan interaksi dua hala antara pelajar dan penduduk, sekaligus memupuk persefahaman dan kepercayaan.

Konsep rewang pula dijayakan bagi meneruskan budaya gotong royong tradisional yang merupakan nilai budaya Melayu yang perlu diwariskan dan dihidupkan kembali kepada generasi muda.

“Program seperti ini bukan sahaja membentuk pelajar berdaya saing, malah berjiwa rakyat. Ini selari dengan aspirasi UiTM Cawangan Negeri Sembilan yang menjadikan konsep kebersamaan dan komuniti sebagai tunjang pembangunan insan holistik,” kata Kapten Affandi.

Program yang diselaraskan oleh Bahagian Hal Ehwal Pelajar UiTM Cawangan Negeri Sembilan dirasmikan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Mohd Zulhilmi Mohd Yunus.

Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan program berbentuk komuniti dalam menyokong agenda pendidikan seimbang iaitu gabungan kecemerlangan akademik dan kemantapan nilai diri.

“Kami percaya mahasiswa bukan sekadar perlu lulus peperiksaan, tetapi harus lulus dalam ujian kemasyarakatan iaitu tahu memberi, tahu berkhidmat, dan tahu menyesuaikan diri dalam pelbagai lapisan masyarakat,” katanya.

UiTM terus memperkukuh komitmennya terhadap pendidikan berteraskan komuniti dan kesukarelawanan.

Program seperti ini membuktikan bahawa kampus bukan sekadar tempat menimba ilmu, tetapi ruang untuk memupuk jiwa yang cakna, empati dan bersedia menjadi pemimpin masa depan negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast