BANGKOK – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Kebangsaan (NACC) dilaporkan telah membuat keputusan untuk menyiasat etika Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra berhubung panggilan telefonnya dengan Presiden Senat Kemboja, Hun Sen, baru-baru ini.
Keputusan itu dibuat sebagai respons kepada petisyen yang dibuat Speaker Senat, Mongkol Surasajja, kepada Mahkamah Perlembagaan dan NACC, Jumaat lepas.
Beliau meminta supaya Perdana Menteri Paetongtarn dilucutkan jawatan susulan kebocoran rakaman panggilan telefon dengan Hun Sen.
Surat rasmi tersebut mempersoalkan sama ada Paetongtarn telah melakukan rasuah dengan sengaja melanggar perlembagaan atau undang-undang, atau telah melanggar standard etika dengan serius.
Pada masa yang sama, satu permohonan turut dihantar ke Mahkamah Perlembagaan bagi meminta mahkamah menilai sama ada tempoh perkhidmatan Paetongtarn sebagai perdana menteri wajar ditamatkan menurut Seksyen 160 dan 170 yang berkaitan dengan etika menteri dan penamatan jawatan menteri.
Perbualan tersebut dikatakan mengandungi kenyataan menghina terhadap Panglima Wilayah Tentera Kedua yang digambarkan sebagai musuh, serta nada tunduk terhadap pemimpin Kemboja itu, di mana Paetongtarn dilihat bersedia memenuhi permintaan Hun Sen — satu tindakan yang dianggap mencemarkan kepentingan negara Thailand secara serius.
Dilaporkan bahawa NACC telah mengarahkan pegawai terlibat untuk membuat transkripsi rakaman audio, menterjemah bahagian perbualan dalam bahasa Kemboja, menyoal saksi, dan mengkaji aspek undang-undang berdasarkan kes etika bekas perdana menteri Srettha Thavisin.
Jika didapati wujud kes, pegawai akan mencadangkan supaya NACC membentuk jawatankuasa penyiasat bagi mengendalikan kes Paetongtarn.
Sementara itu, pejabat Mahkamah Perlembagaan memaklumkan bahawa mesyuarat seterusnya untuk mempertimbangkan kes akan diadakan pada 1 Julai. -AGENSI
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast
















