KUALA LUMPUR – Polis sedang memburu dua individu yang disyaki terlibat dalam penggunaan wang palsu RM100 di dua premis makanan sekitar Pekan Tampin, Negeri Sembilan, semalam.
Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Amiruddien Sariman berkata, operasi itu digerakkan selepas dua peniaga tidak menyedari wang kertas yang diterima daripada pelanggan mereka adalah palsu.
“Kami menerima dua laporan berhubung wang palsu yang diterima. Laporan pertama dibuat pihak bank selepas seorang pekerja di sebuah premis menjual air mendepositkan wang hasil jualan ke dalam akaun bank di Tampin.
“Ketika proses pengiraan, mesin bank mengesan sekeping wang kertas RM100 yang dipercayai palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Manakala laporan kedua pula dibuat oleh pemilik sebuah gerai makanan yang hanya menyedari kewujudan wang palsu tersebut ketika mengira hasil jualan selepas tamat berniaga.
Siasatan awal mendapati kedua-dua kes dipercayai melibatkan dua suspek berbeza dan kes disiasat mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan kerana menggunakan wang palsu.
Jelas Amiruddien, orang ramai khususnya peniaga dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan memeriksa dengan teliti setiap wang kertas yang diterima semasa urus niaga.
Sebarang maklumat berkenaan kejadian boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin di talian 06-4412502 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette















