KUALA LUMPUR – Sebuah Porsche 911 Carrera Coupe berwarna kuning milik seorang selebriti tempatan, antara 101 kenderaan mewah yang disita dalam Ops Luxury Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sepanjang Jun ini.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kenderaan mewah itu disita kerana Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans sah.
“Ada (kenderaan mewah milik selebriti), tetapi kita tidak boleh dedahkan. Semua orang awam tak kira dia orang kenamaan, selebriti atau sebagainya, sepatutnya dia patuhi peraturan jalan raya.
“Sekiranya mereka ini orang-orang yang dikenali, mereka sepatutnya lebih arif dan lebih faham akan undang-undang di atas jalan raya ini.
“Sepatutnya mereka tunjukkan contoh lebih baik kepada semua,” katanya pada sidang media, di pejabat JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah JPJ WPKL, Hamidi Adam.
Daripada 101 kenderaan mewah yang disita di seluruh negara, sebanyak tiga negeri mencatatkan jumlah tertinggi iaitu WPKL (17), Selangor (17) dan Pulau Pinang (14).
Ditanya mengenai kesalahan ketidakpadanan nombor casis dengan maklumat dalam sistem, beliau tidak menolak kemungkinan kenderaan mewah terbabit dipercayai kenderaan klon.
“Ada kemungkinan (klon), kita tengah buat siasatan, ada beberapa perkara mungkin kenderaan klon juga terlibat.
“Pasukan saya sedang membuat siasatan terperinci berkenaan beberapa kenderaan yang kita dapati menggunakan plat-plat palsu ataupun nombor casis yang tidak sama dengan sistem MySikap.
“Kita syaki memang ada kaitan dengan kenderaan klon,” katanya.
Selain itu, Aedy Fadly berkata, terdapat kes kenderaan mewah yang disita itu gagal memperbaharui LKM lebih 12 bulan dari tarikh tamat tempoh.
“Ada yang lebih setahun, kita dapati sejak awal 2024, ada kenderaan yang tidak memperbaharui cukai jalan.
“Ini adalah satu kesalahan yang kita tak boleh terima dan sebab itu pihak JPJ ambil tindakan dengan menyita kenderaan-kenderaan tersebut.
“Kesalahan paling tinggi hingga disita kenderaan ialah tiada LKM, tamat tempoh dan tiada insurans, semua 101 LKM tamat tempoh,” katanya.
Katanya lagi, kebanyakan pemilik kenderaan mewah terbabit memberi alasan terlupa untuk memperbaharui LKM dan insurans perlindungan kenderaan.
“Ada yang memberi alasan terlupa untuk memperbaharui LKM, ramai bagi alasan terlupa, bila kita sita kenderaan itu, cepat pula dia nak bayar cukai jalan.
“Bila kita nak sita baru kelam-kabut nak bayar. Saya rasa ini alasan-alasan yang tidak boleh diterima,” katanya. – MalaysiaGazette
















