KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa menilai semula cadangan penggunaan Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk pembayaran premium insurans kesihatan kerana ianya disifatkan sebagai risiko menghakis simpanan hari tua pencarum.
Pengasas dan Presiden Persatuan Kebajikan Dinamik Sinar Kasih Malaysia (DSK), Datuk N Sivakumar berkata, walaupun cadangan itu disasarkan untuk membantu golongan B40 dan M40 mendapatkan akses lebih cepat kepada rawatan kesihatan berkualiti namun implikasi jangka panjang terhadap kestabilan kewangan pencarum selepas persaraan tidak boleh dipandang ringan.
“Simpanan KWSP adalah pelindung untuk hari tua rakyat dan menggunakannya bagi membayar premium insurans kesihatan yang bersifat komitmen bulanan dan tidak tetap boleh menyebabkan pencarum kehilangan dana penting ketika mereka benar-benar memerlukannya nanti,” katanya dalam kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Beliau menjelaskan kos premium insurans meningkat mengikut usia, tahap kesihatan dan jumlah tanggungan, sekali gus menjadikan penggunaan Akaun 2 bagi tujuan itu sesuatu yang membebankan dalam jangka panjang.
“Jika pencarum ambil pelan insurans untuk seluruh keluarga, mereka mungkin mengeluarkan puluhan ribu ringgit. Ia bukan bayaran sekali sahaja, sebaliknya memerlukan komitmen berkala. Apakah KWSP boleh terus dijadikan tabung untuk keperluan jangka pendek seperti ini?” soal beliau.
Sivakumar juga mencadangkan agar kerajaan menstruktur semula skim insurans sedia ada agar lebih bersifat inklusif dan berpatutan disesuaikan dengan pendapatan, umur dan saiz isi rumah.
“Kita perlu insurans yang realistik dan mampu milik, bukan skim yang hanya menguntungkan penyedia perkhidmatan. Di sesetengah negara, rakyat menikmati rawatan percuma di fasiliti kesihatan awam tanpa sebarang bayaran terus.
“Di Malaysia juga, kita memiliki sistem kesihatan awam yang baik dengan bayaran minimum dan oleh itu, insurans premium sepatutnya kekal sebagai pilihan tambahan, bukan satu keperluan wajib yang menekan simpanan rakyat,” ujarnya.
Selain itu, beliau juga menyarankan agar sistem tapisan pintar diwujudkan dalam aplikasi i-Akaun KWSP bagi memberi panduan kewangan kepada pencarum sebelum membelanjakan simpanan mereka.
“Jika pencarum ingin guna Akaun 2 untuk beli pelan insurans, sistem perlu minta mereka nyatakan pendapatan, tanggungan dan jenis pelan yang dipilih. Aplikasi boleh hitung dan tunjuk anggaran komitmen serta baki simpanan selepas pembelian. Ini boleh elakkan ketelanjuran,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar ejen insurans bertindak jujur dan telus ketika mempromosikan pelan kepada orang awam.
“Ramai pencarum membuat keputusan berdasarkan maklumat tidak lengkap atau terlalu bergantung pada kata-kata manis ejen. Maka kawal selia dan ketelusan sangat penting dalam isu ini.
“Harapnya kerajaan mengambil kira pandangan semua pihak dan tidak terburu-buru melaksanakan dasar yang boleh memberi kesan besar terhadap keselamatan kewangan rakyat pada masa depan,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
















