Anggota bomba berjaya memadamkan sepenuhnya kebakaran di Taman Kota Puteri, Masai, Pasir Gudang yang bermula Sabtu lalu.

PASIR GUDANG – Bomba mengambil masa tiga hari untuk memadam kebakaran besar di kawasan penyimpanan lori dan minyak di Jalan Cenderai 27, Taman Kota Puteri, Masai, di sini, yang bermula Sabtu lalu.

Ketua Zon 1, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor, Penguasa Kanan Bomba I, Zaipulbahri Mat Rusok berkata, operasi memadam kebakaran itu berjaya sepenuhnya dan ditamatkan pada pukul 2.35 petang semalam.

“Operasi tersebut melibatkan kekuatan 37 anggota dari lapan balai bomba termasuk Pasir Gudang, Johor Jaya, Tebrau, Kota Tinggi, Larkin, Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Mount Austin, PBS Ulu Tiram dan Pasukan Khas Hazmat JBPM Johor,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, operasi menghadapi cabaran besar berikutan struktur kawasan kebakaran dipenuhi tong-tong minyak bersaiz besar serta angin kuat yang menyebabkan api cepat merebak.

“Kebakaran besar ini akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas kerja-kerja pemadaman dan ‘overhaul’ dijalankan.

“Kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 700 x 700 kaki persegi dan memusnahkan hampir 92 peratus kawasan sebelum dipadamkan sepenuhnya,” katanya.

Dalam kejadian berkenaan, seorang pegawai bomba dilaporkan cedera ringan semasa menjalankan tugas.

Sabtu lalu, media melaporkan sebanyak tiga kilang dan 15 kenderaan musnah sepenuhnya dalam kebakaran besar membabitkan kawasan seluas kira-kira 1,000 meter persegi di Kawasan Perindustrian Kota Puteri.

Premis itu membabitkan kilang penyimpanan minyak hitam terpakai, kilang pemprosesan sabun dan kawasan parkir lori.

Beberapa video dan gambar yang memaparkan asap tebal serta beberapa individu awam berada berhampiran lokasi kejadian turut tular dalam media sosial. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast