Raiz Mukhliz menunjukkan sebahagian dadah yang dirampas di sebuah rumah sewa, pada sidang akhbar di IPD Muar, hari ini.

MUAR – Seorang bapa dan anak lelakinya ditahan serta 6,389 gram serbuk ekstasi bernilai RM1.06 juta dirampas selepas polis melakukan serbuan di sebuah rumah sewa di Bukit Treh di sini Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, serbuan itu dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar.

Beliau memberitahu, serbuan itu dilakukan pada pukul 4 petang hingga 10 malam ketika mereka sedang memproses serbuk ekstasi menggunakan lesung dalam bilik di rumah itu.

“Mereka sekeluarga tinggal dalam rumah tersebut yang disewa sejak dua tahun lalu dan memproses dadah dalam salah satu bilik.

“Siasatan mendapati sebaik selesai memproses, dua beranak itu kemudian akan membungkus dalam bentuk peket seperti serbuk minuman 3 in 1 untuk dijual kepada pelanggan yang disasarkan.

“Ini merupakan modus operandi mereka dengan menyewa rumah di kawasan perumahan sebelum menjalankan aktiviti memproses dadah secara tradisional,” katanya dalam sidang media di IPD Muar hari ini.

Katanya, suspek yang ditahan adalah lelaki tempatan berusia 49 tahun dan baru keluar penjara tahun lalu atas kesalahan dadah manakala anak lelakinya berusia 23 tahun.

Jelasnya, bapa itu mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan anaknya iaitu anak keempat daripada enam beradik pula memiliki lima rekod lampau berkaitan dadah.

Raiz Mukhliz berkata, dalam serbuan itu polis merampas peralatan digunakan untuk memproses dan membungkus dadah serta sebuah kereta Perodua Myvi dan motosikal Yamaha Y15ZR bernilai RM20,000.

Jumlah keseluruhan nilai rampasan dan sitaan dalam serbuan itu RM1,086,963, katanya.

“Mereka menjalankan kegiatan pengedaran ini sejak Februari lalu di rumah sewa itu. Kita sedang menyiasat dari mana mereka mendapat bekalan dadah untuk diproses.

“Dadah yang dipeket itu akan dijadikan jus dan menjadi pilihan bagi mereka yang ingin berhibur. Dadah itu boleh digunakan lebih 2,000 penagih,” katanya.

Tambahnya, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methampethamin.

Kedua-dua beranak itu ujarnya, direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) akta sama.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast