ISKANDAR PUTERI – Kematian guru Cikgu Lo Kwan Fong yang ditemui mati mereput di Bandar Selesa Jaya di sini pada 13 Jun lalu, dipercayai tidak mempunyai kaitan dengan wang dipinjamnya daripada ah long.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, kematian guru wanita tersebut, 39, tidak mempunyai unsur jenayah dan sudah pun membayar pinjaman RM20,000 yang dibuatnya.
Hasil siasatan awal pihak polis juga mendapati tiada kejadian simbah cat dan ugutan diterima mangsa.
“Mendiang pernah buat laporan polis dan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951. Tetapi setelah mendiang lunaskan kesemua hutangnya, tiada laporan polis diterima.
“Malah jiran mendiang juga menyatakan tiada ah long datang simbah cat di rumahnya. Mendiang juga tidak pernah buat laporan polis selepas hutang dilunaskan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam akhbar selepas sidang media pelupusan barang kes bahagian siasatan jenayah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri di sini, hari ini.
Menurut Kumarasan, sehingga kini jenazah cikgu wanita berkenaan masih belum dituntut oleh ahli keluarganya.
Katanya, pihak polis telah membuat semakan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan mengesahkan mendiang adalah anak tunggal, manakala ibu dan bapanya telah meninggal dunia.
“Pihak Polis akan berbincang semula dengan pihak hospital. Selepas dua minggu akan diserahkan kepada pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru untuk melantik syarikat pengebumian swasta.
“Kita difahamkan mendiang mempunyai seorang mak cik dari Singapura tetapi sehingga kini kita tidak dapat maklumat berhubung perkara itu. Ada ibu bapa pelajarnya yang mahu membantu proses pengebumian,” ujarnya.
Kumarasan berkata, menerusi siasatan jiran-jiran mendiang memaklumkan guru wanita berkenaan baik tetapi kurang bergaul dengan masyarakat.
Katanya, keadaan jasad mangsa duduk di tandas dalam rumah yang berkunci dari dalam.
Pada 16 Jun lalu, portal ini melaporkan guru wanita itu ditemui mati dalam rumahnya selepas jiran terhidu bau busuk yang berpunca daripada rumah mangsa.
Jiran mangsa kemudian membuat laporan di Balai Polis Nusa Bestari pada pukul 8 malam.
Siasatan mendapati wanita berkenaan yang tinggal seorang diri dipercayai meninggal dunia dalam anggaran tempoh sebulan.
Wanita itu adalah anak tunggal dan ibu bapanya meninggal dunia sejak beberapa tahun lalu.
Hasil bedah siasat dijalankan oleh doktor pakar forensik HSA mendapati punca kematian tidak dapat dipastikan (penguraian lanjutan).- MalaysiaGazette
Caption gambar: Kumarasan melupuskan barang kes bahagian siasatan jenayah di IPD Iskandar Puteri, Iskandar Puteri, hari ini
















