KUALA LUMPUR – Setiausaha Pergerakan Pemuda UMNO meraikan keputusan Mahkamah Rayuan yang secara sebulat suara mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes rasuah melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Bagi Hafiz Ariffin, keputusan hari ini menunjukkan ada kewibawaan institusi kehakiman Malaysia bersih daripada pengaruh-pengaruh luar dan ia dibuat semata-mata berdasarkan rekod mahkamah.
“Sebagai orang muda dalam politik semestinya apa yang berlaku kepada seorang politikus muda memberikan semangat dan persepsi yang besar kepada kumpulan orang muda bukan sahaja kepada rakyat tetapi kepada orang-orang politik juga.
“Kita tidak mahu ada pelabelan seperti political prosecution bila anak muda bersuara dengan lebih lantang,” katanya dalam kenyataan.
Dan dalam hal itu juga, Hafiz berkata, pengajaran kepada semua pihak bahawa undang-undang dan badan pendakwa perlu pastikan kes yang dibawa bukan kerana motif politik tetapi berdasarkan bukti yang jelas.
“Penalti seperti penjara, sebatan, denda besar ini adalah satu yang saya fikir cukup mengejutkan kerana ada kes yang lebih besar pun daripada ini. Tak ada pula yang umur-umur yang lebih dewasa ini dikenakan sebat tapi orang muda nak sebat pula jadi rasa macam tak berapa kena,” ujarnya.
Dan ia juga pengajaran kepada orang muda dalam politik untuk berhati-hati apabila mendapat tempat dan kuasa dan akses kepada sumber supaya tidak terjerat dengan hal-hal seperti ini.
“Buat Syed Saddiq, semoga ini sedikit sebanyak memberikan semangat untuk beliau terus berkhidmat dan bertugas dan berkarya dalam arena politik untuk terus membawa suara anak muda dalam masa yang sama memberikan contoh yang baik kepada orang ramai,” katanya.
Sebelum itu, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyelewengan dana Armada.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai oleh Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim memutuskan demikian secara sebulat suara selepas membenarkan rayuan wakil rakyat itu. – MalaysiaGazette
















