Takiyuddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas mengambil maklum dan memandang serius kontroversi melibatkan seorang pemimpinnya  peringkat kawasan seperti dilaporkan oleh media hari ini.

Ia berkait satu muat naik situasi andaian kepimpinan negara pada masa depan oleh individu terbabit di laman sosial miliknya.

Perlu ditegaskan bahawa catatan itu atau mana-mana catatan lain seumpamanya adalah pandangan individu terbabit sepenuhnya yang bukan sahaja tidak ada kaitan malah berlawanan sama sekali dengan dasar, ketetapan dan wawasan Pas yang sah seperti yang terkandung dalam Perlembagaan parti, ketetapan Muktamar Agung Tahunan, mesyuarat parti atau kenyataan rasmi yang dibuat dari masa ke masa.

Itu tegas Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

“Pas komited dan menjunjung tinggi prinsip dan realiti kepelbagaian kaum dan kepercayaan sebagai ciri unik dan berharga masyarakat kita yang perlu dipupuk dengan
sebaik-baiknya.

“Komitmen ini terakam dalam sejarah Pas sejak awal selain terpancar dalam banyak inisiatif dan aktiviti parti yang tidak pernah kenal lelah.

“Kepelbagaian dan perbezaan latar belakang tidak boleh sama sekali dijadikan alasan atau sebab untuk berlaku tidak adil terhadap mana-mana anggota masyarakat. Ia juga tidak boleh dijadikan sandaran untuk menghalang kemajuan, peluang, pencapaian, kebolehan atau cita-cita sah mana-mana individu dan kalangan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Takiyuddin, sikap perkauman atau rasisme dalam apa jua bentuk dan warnanya tidak ada tempat dalam Pas selain tidak cocok dengan budaya besar dan cita-cita kebangsaan negara ini.

Pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral Angkatan Tentera Malaysia (ATM) adalah peristiwa bersejarah yang sepatutnya diraikan oleh semua rakyat bukannya dipersoal, apatah lagi diperlekeh semata-mata kerana latar belakang kaumnya.

“Kebolehan, pencapaian, kemajuan dan kejayaan mana-mana anak Malaysia dalam apa jua bidang adalah berita gembira untuk semua, bukan sebaliknya. Tahniah daripada Pas buat Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim,” katanya.

Berkait dengan sikap dan kelakuan mana-mana pemimpin Pas yang membuat sebarang kenyataan yang bertentangan dengan dasar, ketetapan dan kepentingan parti, Pas sentiasa dan terus memberi peringatan agar ahli-ahlinya kekal cermat dan berhati-hati dalam sebarang tindakan kerana ketegasan kita dalam soal adab, susila mahupun disiplin seperti mana yang tercerna dalam Perlembagaan Pas adalah tiada toleransi.

Justeru Pas tidak teragak-agak mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli-ahlinya yang melanggar disiplin parti termasuk tingkah laku tidak sensitif yang mencemari cita-cita perpaduan negara dan menimbulkan rasa tidak harmoni serta syak wasangka dalam masyarakat.

Sesungguhnya Pas amat serius dalam hal ini dan ia dizahirkan dengan jelas dan nyata apabila Muktamar Pas pada tahun 2024 telah meluluskan pindaan Perlembagaannya untuk membuka keahlian Pas kepada semua rakyat Malaysia daripada pelbagai agama dan keturunan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast