KUANTAN – Seorang pekebun kecil berputih mata selepas mengalami kerugian sebanyak RM239,804 akibat terbabit dalam skim penipuan atas talian dalam kejadian di Bentong.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata, mangsa berusia 37 tahun telah diperdaya oleh seorang individu yang memperkenalkan pelaburan ‘Best Bit’ menerusi aplikasi WhatsApp.
Lelaki itu kemudian telah diberikan pautan laman web https://web.bestbit.shop/mobile/home untuk melabur dan suspek telah menjanjikan akan menerima keuntungan yang lumayan.
“Mangsa membuat 41 transaksi ke 19 akaun bank berbeza dari 22 Mac hingga 16 Jun 2025.
“Sumber kewangan bagi pelaburan ini adalah wang simpanan mangsa sendiri serta pinjaman daripada abangnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Yahaya berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas mendapati tiada sebarang pulangan seperti yang dijanjikan.
Pihak Polis Kontinjen Pahang menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan yang lumayan, katanya. – MalaysiaGazette















