Perhimpunan aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 yang membabitkan mahasiswa UMS.

KUALA LUMPUR – Pesanan oleh perdana menteri agar mahasiswa yang menyertai perhimpunan aman Gempur Rasuah Sabah 2.0 baru-baru ini tidak diambil tindakan adalah sifat kebapaan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Amidi Abdul Manan berkata, tindak balas daripada perdana menteri adalah suatu yang di luar dugaan.

Namun, beliau mempamerkan sifat ihsan demi kesejahteraan masa hadapan pelajar terbabit, apatah lagi sekarang adalah minggu yang ke 14, iaitu minggu terakhir pembelajaran sebelum memasuki minggu ulang kaji dan seterusnya minggu peperiksaan.

“⁠Sudah tentu jika tiada pertimbangan yang lahir daripada seorang bekas pemimpin mahasiswa (Anwar) segala proses perundangan akan dilaksanakan mengikut tempoh waktu tanpa memikirkan minggu peperiksaan pelajar terbabit,” katanya.

Amidi menyifatkan perkara ini tidak pernah berlaku ketika beliau memimpin gerakan pelajar pada 1998 dahulu di waktu pemerintahan Tun Mahathir Moamad sebagai perdana menteri kerana ada pelajar yang dipanggil ke balai-balai polis memberikan kenyataan ketika dalam minggu genting semester akademik.

Dalam pada itu, beliau juga mahukan penjelasan yang benar-benar meyakinkan daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkaitan masalah air yang berlarutan begitu lama.

“⁠Saya meyakini kematangan para mahasiswa ini, jika mereka diberikan penjelasan yang jujur tanpa berselindung mereka boleh berfikir dengan rasional.

“Mahasiswa sudah muak dengan alasan dan saya dapat merasai keperitan hidup tanpa bekalan air yang sempurna terutamanya menjelang minggu peperiksaan.

“⁠Saya pernah ditahan reman di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1998 ketika menjadi pemimpin mahasiswa, saya mendoakan agar Sdr M. Fadhli M. Kasim tabah dan terus cekal demi memperjuangkan kebajikan mahasiswa UMS khususnya isu bekalan air di kampus utama,” ujarnya. – MalaysiaGazette

PM pesan jangan buang mahasiswa UMS terlibat perhimpunan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast