HIV/AIDS merupakan salah satu ancaman kesihatan global yang masih kekal signifikan di seluruh dunia dan juga Malaysia. Walaupun perkembangan dalam perawatan HIV/AIDS telah jauh berkembang berbanding dua puluh tahun dahulu, prevalens penyakit ini tetap signifikan dan memberi impak kepada kesihatan awam. Penulisan ini bertujuan untuk mengeksplorasi faktor-faktor risiko HIV/AIDS dalam kalangan komuniti LGBTQ.

Seperti yang ramai ketahui, landskap cara penularan HIV telah banyak berubah daripada 20 tahun yang lepas. Dominasi cara penularan pada ketika itu adalah melalui perkongsian jarum di kalangan penagih dadah, atau lebih dikenali sebagai PWID – people who inject drugs. Peningkatan kes HIV pada masa itu menjadi semakin ketara dan Malaysia telah mengambil keputusan untuk melancarkan program pengurangan kemudaratan (Harm Reduction Programe) dan Program Rawatan Methadone (MMT) dan ia telah memberi kesan yang positif. Bilangan kes HIV mula menunjukkan pengurangan.

Namun kini, kaedah penularan utama adalah melalui hubungan seksual. Ia menyumbang kira-kira 75% atau lebih daripada semua kes HIV baru. Menurut laporan Global AIDS Monitoring (GAM) 2024, lelaki yang membuat hubungan seks dengan lelaki (MSM) dijangka menjadi kelompok utama yang dijangkiti HIV menjelang 2030. Yang paling membimbangkan, MSM ini tidak mengira identiti seksualnya, sama ada gay, transgender, biseksual atau queer.

Tetapi, mengapakah MSM ini mempunyai risiko jangkitan yang lebih tinggi berbanding masyarakat berisiko tinggi yang lain seperti female sex worker (FSW) atau male sex worker (MSW). Antara sebab utama adalah MSM melakukan hubungan seks melalui dubur. Lapisan dalam dubur tidak diciptakan secara alami untuk hubungan seks.

Selain daripada tidak mempunyai pelincir semula jadi, lapisannya juga lebih nipis dan menyebabkannya lebih cenderung kepada trauma seperti melecet, luka dan koyak semasa penetrasi walaupun dengan penggunaan pelincir gantian. Luka-luka atau lecetan yang halus mampu mendedahkan mereka bukan sahaja kepada risiko jangkitan virus HIV malah jangkitan penyakit kelamin yang lain seperti sifilis, gonorrhea dan lain-lain lagi.

Selain itu, penggunaan kondom yang tidak konsisten atau tidak menggunakan kondom semasa melakukan seks songsang ini juga menjadi faktor yang meningkatkan risiko jangkitan HIV. Sesetengah dari mereka merasakan kondom menghalang kebebasan mencapai nikmat seksual dan ada sebahagian yang merasakan penggunaan kondom akan menyebabkan mereka dianggap sebagai seorang yang mempunyai masalah jangkitan kelamin.

Kurangnya pengetahuan dan meremehkan risiko yang bakal dihadapi turut menjadi faktor penyumbang kepada jangkitan HIV ini. Ada sebahagian daripada pengamal seks songsang ini menganggap pasangan mereka bebas HIV hanya dengan melihat kepada fizikal luaran yang sihat, malah ada juga yang menganggap mereka tidak akan dijangkiti HIV jika sekadar melakukannya hanya sekali, atau dengan seorang pasangan sahaja. Sebilangan daripada mereka juga yakin hubungan mereka adalah eksklusif dan terlalu mempercayai pasangan mereka, yang membawa kepada pegangan bahawa penggunaan kondom adalah tanda mereka tidak mempercayai pasangan masing-masing.

Penggunaan dadah terlarang boleh meningkatkan risiko jangkitan HIV. Golongan MSM ini menggunakan dadah rekreasi dan dadah terlarang ini untuk pelbagai sebab, seperti meningkatkan kenikmatan dan keseronokan melebihi kebiasaan, mengurangkan perasaan diskriminasi dan rendah keyakinan serta menghilangkan rasa kebimbangan. Penggunaan dadah boleh mengganggu kewarasan dan pertimbangan yang akan membawa kepada seks anal yang agresif atau terjebak dengan seks songsang secara berkumpulan yang yang meletakkan diri mereka berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan virus ini.

Selain dari itu, tahap pengetahuan tentang jangkitan HIV dalam kalangan golongan muda adalah masih rendah. Ini disokong dengan data satu tinjauan yang dijalankan dalam kalangan rakyat Malaysia berusia 15-24 tahun yang dikongsikan di dalam GAM 2024, hanya 11% daripada responden mempunyai pemahaman yang betul tentang kedua-dua kaedah pencegahan penularan HIV melalui hubungan seksual dan keupayaan untuk menolak salah faham utama tentang cara HIV merebak.
Dengan kefahaman dan kesedaran yang rendah akan menyebabkan golongan muda tidak mampu menangkis amalan atau perbuatan yang berisiko yang
membawa kepada jangkitan HIV.

Dalam Islam jelas menegaskan bahawa kita hendaklah menjauhkan diri daripada perkara yang memudaratkan. Firman Allah dalam surah Al-A’raaf ayat 157 yang bermaksud “..Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik, dan melarang mereka daripada melakukan perkara-perkara yang keji; dan Dia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk; dan Dia juga menghapuskan dari mereka beban-beban dan belenggu-belenggu yang ada pada pada mereka”.

Dengan itu setiap individu wajib memelihara diri daripada perkara-perkara yang jelas mungkar. Cara terbaik adalah dengan mengelakkan diri daripada terjebak dengan amalan seks songsang ini. Dalam pada masa yang sama menggalakkan perkahwinan sebagai
jalan yang fitrah kepada manusia.

Perkahwinan di atas dasar memelihara kemaksiatan antara lelaki dan perempuan yang disuburkan dengan ilmu dan agama dapat menjamin seseorang itu daripada terjebak dengan amalan songsang. Kecenderungan atau perasaan tertarik kepada jantina sendiri bukanlah suatu dosa malah melawan keinginan adalah suatu jihad. Berusaha dengan meletakkan diri di dalam kumpulan yang positif dan menyokong ke arah kebaikan serta hubungan antara manusia yang fitrah, iatu lelaki dan perempuan dengan ikatan yang dibenarkan dalam agama akan membantu diri dari terus hanyut dalam kancah kemaksiatan.

Namun bagi mereka yang telah terjebak, berazamlah untuk berhenti, bertaubat dan segera dapatkan bantuan. Jalani saringan di fasiliti kesihatan yang sentiasa terbuka dan dapatkan rawatan sekiranya telah dijangkiti. Semoga generasi Malaysia akan satu hari nanti akan bebas HIV dan membangunkan negara dengan lebih maju dan diberkati Allah SWT.

— Dr. Zamzurina Asmuee
Pakar Perubatan Keluarga
Klinik Kesihatan Kuang & Dr. Jannatul Madihah Abu Bakar
Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA)

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast