Menara Ilham, di Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 05 JUN 2025

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi hari ini, bagi melucut hak Menara Ilham di Jalan Binjai, Kuala Lumpur, bersabit siasatan kes melibatkan Allahyarham Tun Daim Zainuddin.

Selain itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, beberapa aset lain bersabit siasatan kes tersebut juga akan dimohon untuk dilucut hak dalam tempoh terdekat.

“Kita akan melakukan proses (pelucutan hak) Menara Ilham hari ini dan ia bukan proses yang mudah kerana banyak perkara yang perlu dilakukan.

“Malah, dokumen (berkaitan Menara Ilham) juga tebal,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat SPRM, di sini hari ini.

Awal bulan ini, Menara Ilham disita sekali lagi oleh SPRM selepas agensi penguat kuasaan itu mendapat kebenaran daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menyita bangunan yang dikaitkan dengan Daim.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Azam berkata, pihak berkuasa di United Kingdom (UK) juga bersetuju dengan SPRM untuk mengenakan perintah larangan terhadap sejumlah aset dan harta bernilai kira-kira RM700 juta milik keluarga dan proksi yang dikaitkan dengan Daim di negara berkenaan.

“Semalam kita telah mendapat makluman daripada pihak autoriti UK bahawa mereka juga telah memfalkan restraining order (perintah larangan) hasil daripada pemohonan yang kita perolehi daripada mahkamah di sini.

“Pihak autoriti UK bersetuju dengan pemohonan kita di Malaysia itu dan akan diteruskan di peringkat mahkamah di sana,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, tiga kediaman mewah di London merupakan antara tujuh hartanah dan satu akaun bank didakwa milik isteri Daim, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid dan keluarga, berjaya dibekukan SPRM membabitkan nilai berjumlah GBP132 juta (RM758.2 juta).

Hasil siasatan dijalankan SPRM mendapati harta alih dan tidak alih itu adalah perkara atau keterangan yang berhubung dakwaan suatu kesalahan bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi menggantung sementara perintah membekukan tujuh hartanah termasuk tiga kediaman mewah di London serta satu akaun bank itu selepas Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan dibuat peguam Na’imah, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar.

Sementara itu, ditanya berkenaan perintah penggantungan sementara tersebut, Azam berkata, pihaknya menunggu permohonan tujuh pihak termasuk Yayasan Ilham untuk menjadi pencelah di mahkamah bersabit kes itu pada 9 Julai ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini, pembekuan aset itu masih lagi berjalan dan ia tidak digantung sementara.

“Mungkin cara penyampaian pemberitaan (tidak tepat), tetapi saya difahamkan ada pencelah yang ditetapkan mahkamah pada 9 Julai ini kerana sebelum ini tiada dimasukkan pencelah.

“Jadi apabila ada pencelah, mahkamah perlu membuat keputusan untuk didengar pengurusan kes,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast