KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) kerana terlibat dengan pengubahan wang haram berkaitan menerima, memindah dan menggunakan hasil rasuah melalui akaun peribadi dan syarikat miliknya saudara serta sekutunya.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin membenarkan suspek direman selama empat hari sehingga 28 Jun 2025 selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret, Putrajaya dekat sini pagi tadi.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 30-an itu telah ditahan sekitar pukul 2.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut antara tahun 2015 hingga 2025 dan sebelum ini suspek pernah ditahan reman bagi kes yang disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 berkaitan kes salah guna kuasa dengan penyelewengan dana milik NGO di tempat suspek bekerja,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AML), Norhaizam Muhammad ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001). – MalaysiaGazette
















