PUTRAJAYA – Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan artis Bella Astillah masing-masing terus `mengunci mulut’ ketika ditanya perancangan masa depan mereka ekoran pembebasan Ahli Parlimen Muar itu daripada sabitan dan hukuman penjara.
Bella berkata, sebagai seorang perempuan, tidak manis untuk berkongsi sebarang perancangan apatah lagi membicarakan hal itu secara terbuka.
Sehubungan itu, beliau menjelaskan, tiada sebarang maklumat dapat dikongsikan dengan peminat buat masa ini.
“Saya serahkan soal jodoh kepada takdir dan ketentuan Ilahi kerana kalau ada jodoh, Alhamdulillah.
“Bagi Bella, Syed Saddiq seorang yang jujur, ikhlas dan berani, mungkin ini balasan atas kebaikan yang dilakukan selama ni,” kata Bella atau nama sebenarnya, Dayang Nabellah Awang Astillah.
Penyanyi itu ditanya hura-ura hubungannya dengan Syed Saddiq ketika ditemui pihak media sejurus keputusan Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskannya daripada sabitan dan hukuman berkaitan penyelewengan dana Armada.

Sementara ini, Syed Saddiq memberitahu belum terfikir untuk merancang fasa seterusnya bersama Bella.
“Fokus utama ialah meraikan kemenangan ini bersama keluarga, buat masa ini, saya hanya mahu bawa mereka keluar makan,” katanya.
Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada Bella akan turut serta dalam sesi makan tersebut, bekas Menteri Belia dan Sukan itu hanya tersenyum dan enggan memberi komen.

Dalam pada itu, Syed Saddiq menzahirkan penghargaan kepada kumpulan penyokongnya bersama Bella yang dikenali sebagai BASS (Bella Astillah Syed Saddiq) atas sokongan dan doa berterusan.
“Terima kasih kepada penyokong kami (BASS) yang sentiasa bersama tanpa disuruh atau diarah memberi sokongan.
“Saya terharu kerana sejak dua tiga malam lalu mereka mengadakan bacaan Surah Yasin dan doa selamat untuk saya.
“Hari ini kita semua berkongsi air mata kemanisan atas doa kalian,” ujarnya.
Kejayaan itu turut diraikan bersama Bella yang hadir memberikan sokongan kepada Syed Saddiq seawal pukul 7.50 pagi.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan membebaskan Syed Saddiq daripada empat pertuduhan melibatkan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas membenarkan rayuan Syed Saddiq untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, dua sebatan dan denda RM10 juta oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Beliau yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. – MalaysiaGazette
















