[Gambar fail] Prabowo Subianto dan Anwar Ibrahim.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Republik Indonesia, esok 27 Jun 2025.

Lawatan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan kedua-dua negara untuk memperkukuhkan hubungan dua hala yang sedia rapat dan telah lama terjalin, khususnya di peringkat tertinggi kepimpinan.

Perdana Menteri akan diiringi oleh Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir; Menteri Komunikasi, Datuk Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; dan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Lawatan ini juga merupakan manifestasi balas ke atas lawatan-lawatan Presiden Prabowo Subianto ke Malaysia pada tahun ini dalam konteks hubungan dua hala serta penyertaan dalam Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China pada 26 dan 27 Mei 2025,” kata Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini.

Semasa lawatan ini, Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan empat mata bersama Presiden Prabowo.

Kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan dua hala, menyusuli hasil Sidang Kemuncak ASEAN Ke-46, Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China, serta bertukar pandangan mengenai perkembangan isu-isu serantau dan global yang berkepentingan bersama.

Lawatan ini juga merupakan sebahagian daripada persediaan bagi Rundingan Tahunan Ke-13 antara Malaysia dan Republik Indonesia yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini.

Pada tahun 2024, Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar di kalangan Negara-negara Anggota ASEAN.

Berbanding RM111.21 bilion (USD24.39 bilion) pada tahun 2023, dagangan dua hala meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada RM116.29 bilion (USD25.5 bilion) pada tahun 2024.

:Sebagai negara tetangga serumpun yang terdekat dan berkongsi hubungan sejarah serta sebagai negara pengasas ASEAN, lawatan rasmi ini menzahirkan komitmen bersama Malaysia dan Indonesia untuk terus memperkukuhkan kerjasama dua hala demi manfaat bersama kedua-dua negara serta kesejahteraan rantau ASEAN secara keseluruhan,” tambah kenyataan itu lagi. -MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast