JOHOR BAHRU – Seorang bayi perempuan yang baru lapan hari dilahirkan ditinggalkan dalam sebuah peti di Orphan Care Foundation Cawangan Johor Bahru di sini baru-baru ini.
Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, Norhafizah Ahmad berkata, bayi itu ditemukan bersama-sama nota yang mencatatkan nama, tarikh dan masa kelahirannya.
Beliau memberitahu, kejadian itu berlaku pukul 1.15 pagi pada 19 April dan disedari selepas penggera kamera rakaman litar tertutup (CCTV) di pusat perlindungan itu berbunyi.
“Petugas rumah perlindungan itu kemudian membuka peti berkenaan dan mendapati terdapat seorang bayi perempuan diletakkan dalam peti terbabit dengan sekeping nota.
“Nota tersebut menyatakan nama bayi berkenaan adalah Inara Aisyah dan tarikh kelahiran pada 11 April 2025,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, pengurus pusat perlindungan itu membuat laporan di Balai Polis Taman Pelangi sebelum membawa bayi berkenaan ke HSA untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan.
Bayi tersebut, katanya, tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan yang serius dan dibenarkan dibawa pulang dari HSA pada 29 April lalu.
Sehingga kini tiada tuntutan dibuat ibu kandung atau waris bayi berkenaan dan masih ditempatkan di rumah perlindungan tersebut selepas mendapat kebenaran JKM.
Orang ramai yang memiliki maklumat berkaitan waris bayi itu diminta menghubungi JKM Daerah Johor Bahru menerusi Jamalluddin Hassan 07-2330329.
Sementara itu, JKM Kulai juga sedang mengesan waris seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia, Aisyah Nurlaila Abdur Razzaq berusia tujuh tahun.

Pegawai Pembangunan Masyarakat Unit Pembangunan Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kulai, kanak-kanak itu sebelum ini diserahkan kepada seorang individu.
“Kanak-kanak itu diserahkan kepadanya oleh seorang wanita Indonesia pada 27 Jun 2018 di Jalan Perwira 3, Taman Ungku Tun Aminah.
“Berdasarkan sijil kelahiran kanak-kanak, dia dilahirkan pada 26 Jun 2018 dan kini berusia enam tahun 10 bulan,” katanya.
Beliau meminta waris kanak-kanak itu segera menghubungi Anita Hassan menerusi talian 07-6622990 atau 017-4362794.- MalaysiaGazette
















