WASHINGTON — Ketua agensi perisikan Amerika Syarikat berkata, serangan AS telah menyebabkan kemudahan nuklear Iran rosak teruk sekali gus membolehkan program itu tertangguh selama bertahun-tahun.
Laporan yang dibuat Pengarah CIA, John Ratcliffe itu berbeza dengan laporan risikan yang bocor sebelum ini yang mana merendah-rendahkan impak serangan tersebut sekali gus menimbulkan kemarahan Presiden Donald Trump.
Tambah Ratcliffe, beberapa lokasi utama telah dimusnahkan namun beliau tidak menyatakan sama ada program nuklear Iran telah dihapuskan sepenuhnya.
Kenyataan itu dibuat sehari selepas satu penilaian awal yang bocor daripada agensi risikan Pentagon mengatakan komponen utama program nuklear Iran masih utuh selepas serangan pengeboman oleh AS.
Trump sekali lagi menegaskan bahawa serangan tersebut telah “menghapuskan sepenuhnya” kemudahan nuklear Iran.
Presiden daripada Parti Republikan itu memuat naik kenyataan di media sosial pada Rabu dengan mengatakan, media “berita palsu” telah “berbohong dan memutarbelitkan fakta secara total, walaupun mereka tidak mempunyai sebarang maklumat sebenar.”
Tambahnya, Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth, dan pegawai kanan tentera lain akan mengadakan sidang media “yang menarik dan tidak dapat disangkal” Khamis ini di Pentagon “bagi mempertahankan maruah Juruterbang Amerika yang Hebat”.
Perkembangan ini berlaku pada hari kedua Israel dan Iran dilihat mematuhi gencatan senjata rapuh yang dirundingkan oleh Trump selepas 12 hari peperangan berlangsung.
Bercakap di The Hague ketika menghadiri sidang kemuncak NATO pada Rabu, Trump berkata mengenai serangan itu: “Ia sangat teruk. Ia adalah pemusnahan total.”
Beliau juga menyatakan kemungkinan akan menuntut komitmen daripada Iran untuk menamatkan cita-cita nuklearnya dalam rundingan minggu hadapan.
Iran bagaimanapun belum mengesahkan sebarang rundingan seperti itu.
Namun, utusan AS ke Timur Tengah, Steve Witkoff, memberitahu rangkaian NBC bahawa terdapat komunikasi secara langsung dan tidak langsung antara kedua-dua negara.
Kenyataan daripada Ratcliffe, yang dilantik oleh Trump, menyebut maklumat CIA termasuk “risikan baharu daripada sumber/kaedah yang secara sejarahnya boleh dipercayai dan tepat, menunjukkan beberapa kemudahan nuklear utama Iran telah dimusnahkan dan perlu dibina semula yang dijangka mengambil masa bertahun-tahun.”
Pengarah Risikan Kebangsaan, Tulsi Gabbard, juga menyokong penilaian Trump mengenai tahap kerosakan terhadap kemudahan nuklear Iran.
“Jika Iran mahu membina semula, mereka perlu membina semula ketiga-tiga kemudahan (Natanz, Fordo, Esfahan) dari awal, dan ini mungkin mengambil masa bertahun-tahun,” tulisnya di platform X.
Operasi tentera AS melibatkan 125 pesawat tentera, menyasarkan tiga kemudahan nuklear utama Iran pada hari Sabtu.
Imej satelit baharu menunjukkan enam kawah terbentuk di sekitar dua pintu masuk di Fordo, dengan kawah serupa dilihat di Isfahan — namun tidak jelas sama ada kemudahan nuklear yang terletak jauh di bawah tanah telah musnah sepenuhnya.
Satu laporan dari Agensi Risikan Pertahanan Pentagon yang bocor kepada media AS pada hari Selasa menganggarkan bahawa pengeboman AS hanya melambatkan program nuklear Iran “selama beberapa bulan sahaja.”
Setiausaha Pertahanan AS berkata penilaian itu dibuat dengan “keyakinan yang rendah.” – AGENSI
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast















