kenderaan kerajaan Malaysia CPI budaya politik imigresen sempadan rakyat rasuah
Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Keputusan melibatkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman semalam wajar dijadikan pengajaran penting bagi semua pihak khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya setiap siasatan dan pendakwaan dilakukan dengan penuh teliti, bebas dan tanpa tekanan politik atau persepsi penganiayaan.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, keputusan itu juga adalah satu proses keadilan yang wajar dihormati dalam prinsip rule of law.

Apatah lagi, jelas beliau, mahkamah semalam memutuskan terdapat salah arah serius oleh hakim perbicaraan termasuk kegagalan menilai keseluruhan pembelaan tertuduh dan kemungkinan keterangan saksi utama telah ditokok tambah di bawah tekanan.

“Kami juga menekankan bahawa pembebasan seseorang tertuduh tidak bererti kegagalan keseluruhan sistem keadilan, namun ia menjadi petunjuk jelas bahawa kecekapan siasatan, kualiti bukti dan keadilan kehakiman harus sentiasa dipertingkat secara institusional dan profesional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mahkamah Rayuan semalam melepas dan membebaskan Syed Saddiq yang juga bekas Presiden Parti MUDA daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan atas pelbagai kesalahan berkaitan penyelewengan dana Armada.

Mahkamah itu berpandangan, pendakwaan gagal membuktikan niat tidak jujur Syed Saddiq ketika memberikan arahan supaya wang RM1 juta dikeluarkan daripada dana Armada.

Sementara itu, Jais berkata, pihaknya menyifatkan keputusan SPRM untuk merayu keputusan Syed Saddiq semalam membuktikan institusi kehakiman negara masih mempunyai saluran semakan dan pembetulan.

Namun, ujar beliau, MCW menyeru agar siasatan lanjut terhadap semua individu yang terlibat sebagai saksi utama kes tersebut juga dijalankan secara bebas dan menyeluruh, sekiranya wujud unsur manipulasi atau penyalahgunaan kuasa.

Jelasnya, MCW tegas dengan pendirian tiada sesiapa pun harus didakwa atas tekanan politik, dan tiada sesiapa juga harus terlepas daripada undang-undang kerana kedudukan atau pengaruh.

“MCW akan terus memantau perkembangan kes ini di peringkat Mahkamah Persekutuan dan dalam masa sama mendesak reformasi institusi termasuk pembaharuan pendakwaan dan siasatan bagi meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap usaha membanteras rasuah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast