PUTRAJAYA – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) bersama stokis daripada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) terus memainkan peranan penting sebagai barisan hadapan dalam memperkukuh sistem pengedaran subsidi input pertanian, khususnya bagi industri padi dan beras negara.
Peranan stokis PPK ini bukan sahaja penting dalam menyampaikan dasar kerajaan, malah memastikan keperluan pesawah sentiasa dipenuhi secara menyeluruh dan mengikut jadual agihan yang dirancang.
Setiausaha Bahagian Pembangunan Industri Padi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Mohd Zulkifli Harun berkata, kerajaan menaruh kepercayaan tinggi terhadap 195 stokis PPK di seluruh negara, dalam memastikan pembaharuan industri padi dan beras negara dapat dilaksana dengan lebih berkesan dan memberi manfaat menyeluruh kepada para pesawah.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Kursus Pemantapan dan Pengukuhan Stokis bagi Skim SBPKP (Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan) dan SIPP (Skim Insentif Pengeluaran Padi) Zon Tengah, di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Pengurus Besar NAFAS, Noor Azizah Abdul Aziz.
Kursus selama dua hari itu dihadiri seramai 70 peserta terdiri daripada kumpulan sokongan serta pengurus-pengurus bahagian dan kakitangan pengurusan input subsidi di peringkat PPK daripada 28 PPK Zon Tengah.
PPK yang terlibat masing-masing sebanyak 17 buah dari Perak; lima PPK dari Negeri Sembilan serta masing-masing tiga PPK dari Selangor dan Melaka, selain turut melibatkan penyertaan wakil-wakil Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri.

Noor Azizah berkata, kursus ini merupakan sebahagian daripada siri latihan yang dianjurkan oleh NAFAS di lima zon seluruh negara, bermula dengan Zon Utara bulan lalu, disusuli Zon Tengah kali ini, dan akan diteruskan ke Zon Timur, Sabah dan Sarawak selepas ini.
Fokus utama kursus itu adalah bagi memperkukuh kefahaman berkaitan prosedur pengurusan dan agihan input pertanian, meningkatkan kecekapan pelaksanaan di peringkat lapangan serta menyelaras pematuhan terhadap garis panduan semasa.
“Selain itu, kursus tersebut juga menyediakan ruang libat urus antara wakil pelaksana agensi dan pihak pembuat dasar bagi menyelesaikan isu lapangan secara holistik.
“Antara agensi yang terlibat ialah Bahagian Pembangunan Industri Padi KPKM; Bahagian Padi dan Beras LPP; Bahagian Pengurusan Sumber Tanah, Jabatan Pertanian (DOA); Pusat Penyelidikan Padi & Beras Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta pihak-pihak yang berkaitan industri padi di negeri-negeri terlibat,” katanya.
Usaha menganjurkan kursus itu juga merupakan sebahagian daripada proses pembangunan kapasiti yang berterusan, selaras dengan komitmen jangka panjang NAFAS dalam memperkukuh peranan pelaksana lapangan dan memastikan keperluan ahli peladang sentiasa menjadi keutamaan.
Sementara itu, seorang peserta, Nortadilah Mat Zaini, 44, dari PPK Parit, Perak menyifatkan penyertaannya dalam kursus tersebut sebagai peluang untuk meningkatkan lagi kemahiran dan kecekapan dalam menyampaikan insentif dan dasar-dasar kerajaan kepada para pesawah.
Ujarnya, meskipun sudah berkhidmat dengan LPP selama 20 tahun, namun dia tetap berdepan dengan cabaran baharu setiap masa dalam berurusan dengan golongan pesawah, sekali gus memerlukannya sentiasa meningkatkan kemahiran bagi memastikan tiada golongan pesawah yang tercicir daripada bantuan kerajaan.
“Antara cabaran yang saya hadapi adalah bagaimana untuk berdepan dengan pesawah golongan muda dan yang berusia kerana kedua-dua golongan ini memerlukan pendekatan berbeza.
“Jadi dengan adanya kursus seperti ini, saya dapat meningkatkan kemahiran serta lebih mempersiapkan diri untuk berurusan dengan pesawah, dan berharap dapat menyertai kursus seperti ini lagi pada masa depan,” katanya yang juga penerima Anugerah Pengurus Bahagian SBPKP/SIPP Terbaik Negeri Perak 2024.
Sementara itu, seorang lagi peserta, Mohd Sukri Abd Razak, 48, berkata, penyertaan dalam kursus tersebut memberi peluang kepadanya serta para stokis PPK lain untuk menilai semula peranan yang telah dimainkan mereka selama ini.
Mohd Sukri yang juga Pengurus Besar PPK Merlimau, Melaka itu berkata, meskipun sudah berpengalaman selama 21 tahun sebagai stokis, namun dia berpandangan langkah-langkah pembetulan dari segi penyampaian dan pengagihan insentif seperti baja, racun dan anak benih kepada pesawah sentiasa memerlukan penambahbaikan seiring dengan perubahan zaman.
“Dalam masa sama, kami pihak pengurusan di PPK juga sentiasa bertukar-tukar, jadi apabila NAFAS mengadakan kursus seperti ini, ia memberi satu impak baharu untuk kami memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam membantu golongan pesawah,” katanya. – MalaysiaGazette















