Aminolhuda

JOHOR BAHRU – Pas tidak wajar mempertikai pelantikan Datuk Johnny Lim Eng Seng sebagai Leftenan Jeneral pertama orang Cina dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Johor, Aminolhuda Hassan berkata, tindakan segelintir pemimpin Pas itu tidak matang dan seakan berterusan menanam benih kebencian dalam kalangan orang Melayu terhadap bangsa lain.

Ahli Parlimen Sri Gading itu mendakwa, parti berkenaan menunggang isu-isu perkauman untuk kekal relevan menjelang pilihan raya akan datang.

“Ini adalah satu bentuk politik toksik yang tidak membawa manfaat kepada rakyat, sebaliknya terus memecah-belahkan perpaduan negara,” katanya dalam kenyataan.

Selasa lalu, Ketua Pas Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad dikatakan membuat catatan dalam Facebook mempertikaikan pelantikan Johnny.

Bagaimanapun Zaharudin dalam kenyataan hari ini menafikannya dan gambar Johnny hanya dijadikan hiasan dan tidak ada kena mengena dengan kenyataannya.

Johnny sebelum itu melakar sejarah apabila menjadi anak berbangsa Cina pertama yang dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral dalam ATM.

Hari ini Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan, pandangan mengenai Johnny itu daripada ahli parti bersifat peribadi dan tidak mewakili Pas.

Mengulas lanjut, Aminolhuda berkata, perpaduan nasional dan integriti perkhidmatan awam negara harus dipertahankan daripada menjadi mangsa politik perkauman yang sempit.

Rakyat Malaysia, katanya, tanpa mengira kaum layak untuk diberi tempat selagi mereka memiliki kelayakan, dedikasi dan setia kepada negara.

“Kami menyeru agar rakyat Johor dan Malaysia terus menolak politik yang memecah-belahkan dan bersama-sama membina sebuah negara yang inklusif, adil dan harmoni.

“Amanah Johor menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap pelantikan Leftenan Jeneral Datuk Johnny Lim Kean Seng sebagai pegawai tinggi dalam ATM,” ujarnya.

Rekod perkhidmatan Johnny yang cemerlang  membuktikan beliau telah lama meletakkan keselamatan negara melebihi segala-galanya.

“Beliau bukan sekadar layak malah mewakili semangat warganegara Malaysia yang sejati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast