Tangkap layar kenyataan Fadhlina di laman Facebook miliknya

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan sedang menguruskan bantuan bagi membantu seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berdepan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun.

Dalam satu kenyataan ringkas menerusi Facebook hari ini, Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, pasukannya sudah berhubung dengan keluarga pelajar terbabit bagi memastikan urusan ke IPG berjalan lancar.

“Alhamdulillah, pasukan saya sedang berhubung dengan keluarga untuk menguruskan anakanda ini meneruskan pengajiannya ke IPG. Anggap sahaja selesai dan mari kita sama-sama mendoakan kejayaan anak ini dalam pengajiannya kelak. Inilah semangat hijrah yang kita mahukan,” katanya menerusi hantaran facebook, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan pelajar cemerlang, Muhamad Syahmi Azril Saidi Jamal, 18, menghadapi kekangan kewangan walaupun menerima surat tawaran ke IPG bagi melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan.

Remaja dari keluarga penoreh getah itu menyatakan kebimbangan cita-citanya sebagai guru mungkin tidak kesampaian kerana keluarganya tidak mampu menampung yuran pengajian. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast