TEHRAN — Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei mengisytiharkan kemenangan negaranya menentang Israel dan sekali gus “menampar muka Amerika,” pada Khamis.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disiarkan menerusi video yang juga merupakan kenyataan awam pertama beliau sejak gencatan senjata selepas konflik 12 hari di antara Iran dan Israel.
Menurut Khamenei, Washington hanya campur tangan dalam pertempuran kerana “merasa bahawa jika ia tidak bertindak, rejim (Israel) akan hancur sepenuhnya.”
Tegasnya, AS “tidak mendapat sebarang keuntungan daripada peperangan ini.”
“Republik Islam menang dan sebagai balasan, (dapat) menampar muka Amerika,” katanya, merujuk kepada serangan peluru berpandu Iran ke atas pangkalan tentera AS di Qatar pada Isnin, yang kesemua roketnya berjaya dineutralkan tanpa sebarang korban.
ARTIKEL BERKAITAN
Khamenei tidak muncul di khalayak ramai sejak dikatakan berlindung di lokasi rahsia selepas konflik tercetus pada 13 Jun, apabila Israel menyerang beberapa sasaran ketenteraan dan fasiliti nuklear di Iran.
Susulan serangan pengeboman besar-besaran AS pada Ahad lalu yang menyasarkan fasiliti nuklear utama Iran di Fordow dengan bom pemecah kubu, Washington dan Presiden Donald Trump merundingkan satu gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Selasa.
Khamenei telah mengeluarkan satu mesej video pada Ahad lalu ketika konflik memuncak, dan media rasmi negara mengumumkan beliau akan tampil dalam mesej video kepada rakyat Iran pada Khamis.
Ayatollah itu turut mengucapkan tahniah kepada rakyat Iran atas “kemenangan” ke atas Israel dalam satu hantaran di platform X.
Khamenei memperkecilkan kesan serangan AS ke atas tiga tapak nuklear negara itu, dengan menyatakan ia “gagal mencapai apa-apa yang signifikan.”
Kenyataan ini secara langsung bercanggah dengan dakwaan Donald Trump bahawa AS telah “menghapuskan” program nuklear Iran apabila 125 pesawat tentera menyerang tapak Fordow, Natanz dan Isfahan.
Bercakap di sidang kemuncak NATO di Belanda pada Rabu, Trump menolak laporan perisikan Pentagon yang mencadangkan program nuklear Iran hanya ditangguhkan “selama beberapa bulan.”
Sebaliknya, Trump menegaskan bahawa tapak nuklear Iran telah “dimusnahkan sepenuhnya” dan menuduh media “berusaha memperlekehkan salah satu serangan tentera paling berjaya dalam sejarah.”
Berdiri bersama Trump di pentas NATO, Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth turut menolak laporan tersebut dan berhujah bahawa bukti tentang apa yang dibom “terkubur di bawah gunung, musnah dan hancur.”
Kenyataan itu disusuli oleh Pengarah CIA, John Radcliffe, yang kemudian berkata terdapat “risikan yang boleh dipercayai” bahawa program nuklear Iran telah “dilumpuhkan dengan teruk.”
Pemimpin tertinggi Iran itu berkata tindakan ketenteraan AS bukanlah tentang isu nuklear atau pengayaan uranium — tetapi tentang “paksaan untuk menyerah kalah.”
Khamenei turut menegaskan bahawa rakyat Iran telah menunjukkan kesatuan mereka — menghantar mesej bahawa “rakyat kami bersatu suara.”
Beliau berkata Trump menggesa Iran supaya “menyerah kalah”, namun kenyataan itu “terlalu besar untuk mulut seorang presiden Amerika Syarikat.”
“Bagi negara dan bangsa yang besar seperti Iran, sebutan ‘menyerah’ itu sendiri merupakan satu penghinaan,” tambah Khamenei.
Beliau menyatakan Trump secara tidak sengaja mendedahkan satu kebenaran — bahawa Amerika telah menentang Republik Islam Iran sejak awal lagi.
Khamenei berkata Trump telah memberikan gambaran yang “sangat dibesar-besarkan” tentang apa yang berlaku.
Sudah jelas dia perlu melakukannya, kata Khamenei, sambil menambah bahawa sesiapa yang mendengar pasti tahu AS sedang membesar-besarkan sesuatu untuk memesongkan kebenaran.
“Kami telah menyerang salah satu pangkalan utama AS di rantau ini, dan mereka cuba memperkecilkan perkara itu,” katanya.
Ucapan Khamenei dibuat sehari selepas Parlimen Iran meluluskan rang undang-undang untuk menggantung kerjasama dengan badan pemantau nuklear PBB, apabila ahli parlimen sebulat suara menyokong tindakan terhadap Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), menurut media rasmi Iran.
Rang undang-undang tersebut menyatakan bahawa Majlis Keselamatan Negara Tertinggi perlu memberi kebenaran untuk sebarang pemeriksaan IAEA pada masa hadapan, dan ia perlu diluluskan oleh Majlis Penjaga yang tidak dipilih untuk menjadi undang-undang.
“Agensi Tenaga Atom Antarabangsa, yang langsung tidak mengutuk serangan terhadap fasiliti nuklear Iran walaupun sedikit, telah melelong kredibiliti antarabangsa mereka,” kata Speaker Parlimen Mohammad Bagher Ghalibaf di televisyen negara.
“Organisasi Tenaga Atom Iran akan menggantung kerjasama dengan IAEA sehingga keselamatan fasiliti nuklear kami dijamin,” tambahnya.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, berkata pada pagi Khamis bahawa Tehran mempunyai “hak” terhadap tenaga nuklear untuk tujuan aman.
“Iran mempunyai hak penuh di bawah Artikel 4 Perjanjian Pencegahan Penyebaran Senjata Nuklear (NPT) untuk menggunakan tenaga nuklear bagi tujuan aman, dan ia bertekad untuk mempertahankan hak itu dalam apa jua keadaan,” kata Baghaei.
AS “perlu dipertanggungjawabkan atas pencerobohan yang dilakukan terhadap Iran dengan bersekongkol bersama Israel,” tambahnya, sambil mendakwa bahawa serangan bom pemecah kubu itu “telah memusnahkan diplomasi.” — Agensi
IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast















