Anggota bomba sedang mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kejadian kemalangan di Jalan Kuala Sepetang, Kampung Menteri, Taiping. Foto ihsan JBPM PERAK

TAIPING – Seorang lelaki cedera selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam parit di Jalan Kuala Sepetang, Kampung Menteri di sini pada Jumaat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.18 petang.

Menurutnya, sepasukan 10 anggota darpada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping dikejarkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan tersebut.

“Kemalangan itu melibatkan sebuah kereta jenis BMW terbabas ke dalam parit dan seorang lelaki berusia 25 tahun turut ditemukan tersepit.

“Ketua operasi melaksanakan penilaian situasi seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER atau Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap dan mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja penyelamatan menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya jam 6 petang. – MG Perak

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast