KUALA LUMPUR – Malaysia telah melancarkan platform Startup ASEAN, sebuah inisiatif digital menyeluruh dan strategik bagi menghubungkan serta memperkasa ekosistem startup di seluruh rantau ASEAN.
Usaha ini diterajui oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan dilaksanakan oleh Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle) bagi memperkukuh komitmen Malaysia di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 untuk memacu inovasi yang inklusif serta meningkatkan daya saing ekonomi di peringkat serantau.
Pelancaran rasmi ini merupakan pengaktifan sepenuhnya yang dilengkapi dengan komponen penting untuk menyokong ekosistem inovasi ASEAN.
Platform Startup ASEAN ini juga dibangunkan sebagai hab sehenti yang menyeluruh serta menawarkan akses langsung kepada peluang pasaran serantau, pembiayaan, rangkaian pelabur, pembangunan bakat dan pandangan ekosistem.

Startup ASEAN.
Menterinya, Chang Lih Kang berkata, Platform Startup ASEAN bukan sekadar gerbang digital tetapi pemangkin strategik yang dibentuk menerusi kerjasama dengan semua negara anggota ASEAN bagi menangani isu capaian pasaran, pembiayaan, bakat dan data.
Menurutnya, pelancaran ini adalah hasil utama di bawah inisiatif ASEAN Startup Technology Ignite 2025.
“Saya ingin mengiktiraf peranan Cradle sebagai penggerak utama bersama negara anggota ASEAN yang lain. Melalui platform ini, kita bukan sahaja membuka peluang kerjasama baharu di rantau ini, tetapi juga memperluaskan akses untuk startup Malaysia mengembangkan sayap, meningkatkan skala serta berjaya dalam dan luar ASEAN,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn, berkata, Startup ASEAN adalah satu inisiatif transformatif yang direka sebagai hab sehenti bagi semua startup di rantau ini dengan menghubungkan usahawan, pelabur, institusi kerajaan dan penggerak ekosistem dari negara anggota
ASEAN,
“Platform ini mencerminkan komitmen ASEAN untuk memperdalam integrasi serantau melalui teknologi dan inovasi,” ujarnya.
Manakala, menurut Norman Matthieu Vanhaecke, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle pihaknya berbangga untuk memimpin usaha ini dan menyumbang kepada pertumbuhan ASEAN melalui inovasi.
Platform ini melangkaui teknologi semata-mata. Ia adalah tentang mencipta peluang dalam ekosistem startup, memperkukuh kerjasama dan membuka potensi sebenar startup ASEAN.
“Selain pangkalan data serantau, platform ini juga akan menganjurkan programprogram serantau yang bertujuan memperkuat kerjasama rentas sempadan antara negara anggota ASEAN dan rakan dialog seperti Korea Selatan dan China,” tambah beliau.
Inisiatif Startup ASEAN telah diluluskan pada tahun 2023 dan melantik Cradle di bawah mandat MOSTI untuk menerajui pelaksanaannya.
Inisiatif ini menumpukan kepada pembangunan dasar mesra startup, memperkukuh kesiapsiagaan ekosistem, serta memacu program dan kerjasama serantau yang berimpak tinggi.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, kepimpinan Malaysia di bawah program ASEAN Technology Startup Ignite mencerminkan langkah strategik untuk meletakkan Malaysia sebagai hab inovasi serantau. Pelaksanaan berfasa ini meliputi:
• Fasa 1, 2024: Pembangunan dan pra-pelancaran platform Startup ASEAN
• Fasa 2, 2025: Pelancaran platform Startup ASEAN, program dibawah Startup ASEAN, usaha pembinaan kapasiti dan Sidang Kemuncak Startup ASEAN
• Fasa 3, 2026 dan seterusnya: Penubuhan Pusat Kecemerlangan ASEAN untuk startup peringkat awal.
Majlis pelancaran hibrid ini menampilkan video jelajah Startup ASEAN yang memaparkan kisah kejayaan yang unik serta kepelbagaian budaya dari semua negara anggota.
Bersempena dengan pelancaran ini, Cradle menganjurkan sesi akses pasaran serantau, ASEAN CrossConnect, yang menghimpunkan 10 mentor global dari negara ASEAN dengan startup dari seluruh rantau.
Cradle akan terus bekerjasama rapat dengan semua negara ASEAN bagi meningkatkan nilai platform ini, memastikan ia memberi impak bermakna melalui peningkatan akses pasaran, peluang pelaburan dan pertukaran pengetahuan.
Untuk menyertai ekosistem startup serantau, sila layari www.startup-asean.org. – MalaysiaGazette















