KUALA LUMPUR – Pasukan Penyelamat dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu menemui objek terapung dipercayai milik seorang nelayan tempatan yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ikan dari Jeti Tok Jembal, Kuala Terengganu, Terengganu sejak 24 Jun lalu.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Hamiludin Che Awang berkata, objek berupa tong ikan berwarna jingga itu ditemui kira-kira pukul 11.30 pagi semalam pada kedudukan enam batu nautika timur Pulau Yu oleh Bot Peronda Maritim Malaysia PENGGALANG 45.
“Siasatan lanjut dan pengesahan daripada keluarga mengesahkan tong ikan berkenaan adalah milik Mohd Noor Abdullah, 54.
“Penemuan ini dibuat selepas operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang disambung semula pada pukul 7.00 pagi semalam oleh Bot PENGGALANG 45 dan Helikopter Maritim Malaysia AW139.
“Operasi CARILAMAT yang disambung semula pada jam 7 pagi semalam meliputi kawasan pencarian seluas 92 batu nautika persegi di sekitar perairan Pulau Yu.
Media sebelum ini melaporkan, Mohd Noor dilaporkan keluar ke laut seorang diri pada jam 2 petang Selasa lalu namun gagal pulang ke rumah sehingga keesokan harinya.
Kehilangan itu disedari ahli keluarga sebelum laporan dibuat di balai polis pada jam 12.35 tengah hari Rabu.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia menyeru komuniti nelayan dan orang awam yang mempunyai maklumat agar menyalurkan kepada pusat operasi atau mana-mana balai terdekat bagi membantu misi pencarian. – MalaysiaGazette
















