KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli mempersoalkan keputusan kerajaan untuk ‘mengolah dan merombak semula’ kandungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Selain itu, Rafizi menzahirkan kebimbangan terhadap kemungkinan campur tangan politik yang bakal menjejaskan integriti dokumen dasar itu.
“Kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar bahawa Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan akan mengetuai usaha rombakan tersebut menimbulkan pelbagai persoalan.
“Ini memandangkan RMK13 telah melalui proses penyediaan yang teliti sejak September tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, RMK13 bukan sekadar dokumen perancangan biasa, tetapi dasar lima tahun negara yang menjadi rujukan utama merentas pentadbiran kerajaan, kecuali dipinda melalui Parlimen.
“Penyediaan RMK13 dibuat melalui proses ‘bottom-up’ dan ‘top-down’ yang melibatkan input pelbagai pihak.
“Ini termasuk kementerian, pakar teknikal, kerajaan negeri, industri dan Ahli Parlimen menerusi sesi libat urus sepanjang September hingga Disember 2024.
“Proses ini tidak bersifat politik. Malah, RMK13 dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa menggunakan perunding luar, kerana kita yakin dengan kepakaran mereka,” tambahnya.
Beberapa pembentangan mengenai intipati RMK13 juga telah dilakukan kepada Perdana Menteri dan dua kali kepada Jemaah Menteri Khas antara Februari hingga April 2025.
Oleh itu, beliau mempersoalkan mengapa isu rombakan hanya timbul di saat akhir.
“RMK13 bakal dibentangkan Ogos ini dan kini hanya tinggal dua minggu sebelum dihantar untuk percetakan akhir.
“Jika benar mahu dirombak, bagaimana masa yang singkat ini mencukupi untuk rujuk semula kepada semua pakar dan kumpulan kerja teknikal?” soalnya
Tindakan tergesa-gesa untuk merombak dokumen penting negara seperti RMK13 hanya akan menjejaskan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap dasar kerajaan.
Beliau juga menyifatkan keputusan itu mungkin bersifat reaktif terhadap perbincangan di media sosial, khususnya susulan beberapa ciapan balas terhadap Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berhubung peranan beliau dalam penyediaan RMK13.
“RMK13 adalah hasil kerja ribuan rakyat dari segenap lapisan masyarakat. Jika ia dijadikan polemik politik, ia satu ketidakadilan besar kepada mereka yang bertungkus lumus selama hampir setahun,” katanya. – MalaysiaGazette















