Perselisihan faham ketika memasuki lorong tunai mengundang pertelingkahan antara dua pemandu kenderaan di Plaza Tol Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor, semalam. Ihsan Foto : Tular

KUALA LUMPUR – Perselisihan faham ketika memasuki lorong tunai mengundang pertelingkahan antara dua pemandu kenderaan di Plaza Tol Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Akmalrizal Radzi berkata, kejadian kira-kira jam 6.15 petang itu membabitkan dua lelaki tempatan yang masing-masing memandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dan sebuah lori.

“Siasatan awal mendapati insiden berpunca daripada salah faham apabila pemandu Hilux didakwa memotong barisan di sebelah kiri sebelum memasuki lorong tunai di plaza tol berkenaan.

“Tindakan tersebut mengakibatkan berlaku perlanggaran dengan lori yang dipandu oleh seorang lagi individu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, selepas perlanggaran berlaku, pemandu Hilux cuba mengajak pemandu lori berbincang namun lelaki itu enggan berhenti dan terus memandu kenderaannya, menyebabkan berlaku pertengkaran antara kedua-dua pihak.

“Bagaimanapun hasil siasatan menyeluruh mendapati tiada unsur jenayah serius dan kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikan perkara ini secara baik,” katanya.

Kedua-dua pemandu telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat untuk memberi keterangan.

Siasatan telah diteruskan oleh Bahagian Trafik IPD Kuala Langat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).

Polis turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian tersebut.

Terdahulu, tular di media sosial video memaparkan insiden pergaduhan melibatkan dua pemandu kenderaan di plaza tol terbabit, yang didakwa berpunca daripada perlanggaran.

Kejadian bagaimanapun berjaya ditenangkan oleh orang awam yang berada di lokasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast