Mohd Alwi.

GEORGE TOWN – Seorang wanita tempatan kerugian sebanyak RM300,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan cinta atau ‘love scam’ selepas mengenali seorang lelaki melalui aplikasi Facebook.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, mangsa berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pengurus analisis di sebuah kilang di Bayan Lepas, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Barat Daya semalam.

Menurut beliau, mangsa mengenali suspek yang memperkenalkan diri sebagai warga Amerika Syarikat bernama Richard Ming Li, pada November tahun lalu.

Jelas beliau, suspek mendakwa dirinya ahli perniagaan dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan menjalankan perniagaan di sebuah negara di utara tanah air.

“Mangsa kemudian berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp sebelum suspek memohon bantuan kewangan selepas mendakwa akaun bank miliknya disekat.

“Suspek mendakwa memerlukan bantuan untuk membuat bayaran bagi penghantaran stok penting dan berjanji akan membayar semula wang berkenaan berserta ganjaran tambahan.

“Mangsa kemudian membuat 16 transaksi ke lima akaun bank tempatan antara 12 hingga 14 Disember tahun lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Tambah Mohd Alwi, mangsa mula curiga apabila suspek terus meminta wang dan menghantar salinan pasport yang dilihat diubah suai.

“Menyedari dirinya ditipu dan mangsa tampil membuat laporan polis dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast