Warren Buffett. Foto AFP

NEW YORK – Jutawan Amerika Warren Buffett menderma AS$6 bilion lagi saham Berkshire Hathaway kepada Yayasan Gates dan empat badan amal keluarga, sumbangan tahunan terbesarnya sejak dia mula menyumbangkan kekayaannya hampir dua dekad lalu.

Derma kira-kira 12.36 juta saham Berkshire telah meningkatkan pemberian keseluruhan Buffett kepada badan amal lebih AS$60 bilion.

Beliau menderma 9.43 juta saham kepada Yayasan Gates; 943,384 saham kepada Yayasan Susan Thompson Buffett; dan 660,366 saham kepada setiap tiga badan amal yang masing-masing diketuai oleh anaknya Howard, Susie, dan Peter: Yayasan Howard G. Buffett, Yayasan Sherwood dan Yayasan NoVo.

Warren Buffett masih memiliki 13.8 peratus saham Berkshire, berdasarkan saham terkumpul yang dilaporkan, yang mana nilai bersihnya AS$152 bilion sebelum derma 27 Jun lalu,menjadikannya orang kelima terkaya di dunia, menurut majalah Forbes.

Buffett akan menduduki tempat keenam selepas menderma, yang melepasi AS$5.3 bilion yang didermakannya pada Jun 2024.

Dia menderma AS$1.14 bilion lagi kepada badan amal keluarga pada November 2024.

Dalam satu kenyataan, Buffett yang berusia 94 tahun menegaskan beliau tidak berhasrat untuk menjual mana-mana saham Berkshire.

Buffett mula memberikan hartanya pada tahun 2006.

Dia menukar wasiatnya pada 2024, menetapkan 99.5 peratus daripada baki kekayaannya selepas kematiannya kepada amanah amal yang diawasi oleh anak-anaknya.

Mereka akan mempunyai kira-kira sedekad untuk mengagihkan wang itu, dan mesti memutuskan ke mana agihan akan dibuat.

Anak-anaknya, Susie Buffett berumur 71 tahun, Howard Buffett. 70 dan Peter Buffett berusia 67 tahun.

Warren Buffett telah mengetuai Berkshire yang berpangkalan di Omaha, Nebraska sejak 1965.

Konglomerat AS$1.05 trilion itu memiliki hampir 200 perniagaan termasuk insurans kereta Geico dan landasan kereta api BNSF, dan berpuluh-puluh saham termasuk Apple dan American Express.

Susie Buffett mengetuai Yayasan Susan Thompson Buffett, dinamakan sempana nama isteri Warren,membiayai kesihatan reproduktif .

Yayasan Sherwood menyokong badan bukan untung Nebraska dan pendidikan awal kanak-kanak.

Yayasan Howard G. Buffett memberi tumpuan kepada kelaparan global, memerangi pemerdagangan manusia dan mengurangkan konflik manakala Yayasan NoVo mempunyai inisiatif yang tertumpu pada gadis dan wanita yang terpinggir, dan pada komuniti orang asli.

Warren Buffett pada Jun lalu berkata, derma kepada Yayasan Gates akan berakhir apabila dia meninggal dunia. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast