Pengusaha sawah padi membajak kawasan sawah bagi memulih keadaan tanah sebagai persiapan sebelum benih padi ditabur ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Tok Raja, Jerteh, Terengganu. Foto HAZROL ZAINAL, 25 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan telah bersetuju dengan pelarasan kadar insentif pembajakan daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim manakala insentif baharu untuk penuaian akan diberikan pada kadar RM50 per hektar per musim kepada pesawah.

Menteri, Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kerajaan akan memastikan pembayaran insentif ini selesai sepenuhnya sebelum 31 Julai 2025.

Menurutnya, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Jatakas Kabinet Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara (JKKMN)yang bersidang pada 16 Jun 2025, dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.

Menurutnya, pelbagai inisiatif lain turut dibincangkan termasuklah strategi meningkatkan kadar sara diri (SSR) daging lembu/kerbau negara demi kemampanan bekalan makanan negara.

“Kerajaan juga menyambut baik pembangunan Malaysian Food Composition Database (MyFCD) sebagai komponen strategik dalam Dasar Keterjaminan Makanan Negara dan bersetuju secara prinsip dalam meneroka strategi berkesan bagi mengurangkan kebergantungan import jagung bijian demi kelangsungan dan pertumbuhan industri.

“Selain itu, cadangan pindaan terhadap Akta Perlindungan Varieti Baru Tumbuhan 2004 (Akta 634) akan dilaksanakan bagi memastikan perlindungan yang lebih komprehensif terhadap varieti tumbuhan baharu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambahnya, perancangan dasar akan terus diperkasakan menerusi hasil dapatan Laporan Interim Banci Pertanian 2024 dalam memacu pertumbuhan sektor pertanian.

Malah, dalam usaha memodenkan sektor pertanian, kerjasama strategik antara KPKM dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) diperkukuhkan menerusi pengenalan silibus baharu Remote Pilot Certificate Of Competency – Agriculture Light (RCoC-AL) untuk
pengendali persendirian dron/Unmanned Aircraft System (UAS). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast