Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)

KUALA LUMPUR – Perasmian fasiliti pemisah bateri litium-ion berteknologi tinggi oleh INV New Material Technology Sdn. Bhd. meletakkan Malaysia sebagai negara pengeluar pemisah bateri terbesar di rantau ini.

Dengan pelaburan bernilai RM3.2 bilion, fasiliti komersial pertama seumpamanya di Malaysia itu bakal mengeluarkan sebanyak 1.3 meter persegi pemisah litium-ion yang diproses secara basah dan bersalut, iaitu komponen penting dalam pembuatan bateri EV.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pelancaran fasiliti INV New Material Technology merupakan langkah transformasi dalam perjalanan EV Malaysia.

“Berpaksikan Rancangan Induk Perindustrian Baharu 2030 dan Peta Hala Tuju Industri Kimia 2030, pelaburan ini merapatkan jurang kritikal dalam ekosistem EV negara dan mengintegrasikan bahan termaju ke dalam rantaian bekalan kita.

“Ia menetapkan penanda aras baharu untuk pembuatan berteknologi tinggi, di samping memacu pertumbuhan industri yang lebih meluas serta menarik lebih banyak pemain global dan tempatan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global EV,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, projek tersebut telah menjana lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan, termasuk lebih 550 peranan teknikal berkemahiran tinggi dengan gaji melebihi RM3,000 sebulan.

Ia juga menjadi platform untuk pemindahan teknologi dan pengetahuan, membolehkan bakat tempatan Malaysia mendapat pendedahan praktikal terhadap peralatan canggih, program latihan berstruktur, dan kerjasama dengan pakar global.

Pendekatan menyeluruh itu secara signifikan meningkatkan kemahiran tenaga kerja dalam bidang bahan termaju dan plastik kejuruteraan, sekali gus membina saluran bakat masa depan yang penting untuk pertumbuhan jangka panjang Malaysia dalam sektor EV dan teknologi tinggi. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast