WASHINGTON – Presiden Donald Trump mengkritik keras Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, membatalkan rancangan untuk menarik balik sekatan terhadap Iran, pada masa sama akan mempertimbangkan untuk mengebom Iran sekali lagi sekiranya Tehran terus memperkaya uranium ke tahap yang membimbangkan.
Trump memberikan reaksi tegas terhadap kenyataan pertama Khamenei selepas konflik 12 hari dengan Israel yang berakhir apabila AS melancarkan serangan udara ke atas tapak nuklear Iran hujung minggu lalu.
Sebelum ini, Khamenei berkata, Iran telah “menampar muka Amerika” dengan melancarkan serangan terhadap pangkalan utama AS di Qatar sebagai tindak balas kepada pengeboman AS, dan menegaskan Iran tidak akan menyerah.
Trump mendakwa beliau telah menyelamatkan nyawa Khamenei.
Media melaporkan seorang pegawai Amerika Syarikat mendedahkan bahawa Trump telah menolak rancangan Israel untuk membunuh Pemimpin Tertinggi Iran.
“Negaranya telah dimusnahkan, tiga Tapak Nuklear Jahatnya telah DIHAPUSKAN, dan saya TAHU di mana dia bersembunyi, namun saya tidak membenarkan Israel atau Angkatan Tentera AS — yang paling Hebat dan Kuat di dunia — menamatkan riwayatnya,” kata Trump dalam satu hantaran media sosial.
“SAYA SELAMATKAN DIA DARI KEMATIAN YANG AMAT BURUK DAN MEMALUKAN.”
Iran berkata, sebarang perjanjian nuklear hanya mungkin berlaku jika AS menghentikan retorik yang dianggap menghina terhadap Pemimpin Tertinggi Iran.
“Jika Presiden Trump benar-benar serius mahu mencapai perjanjian, beliau harus menghentikan nada penghinaan dan tidak boleh diterima terhadap Ayatollah Khamenei serta berhenti menyakiti jutaan penyokong setia beliau,” kata Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, dalam satu hantaran di X awal pagi 28 Jun.
Trump juga menyatakan sebelum ini beliau sedang berusaha untuk menghapuskan sekatan terhadap Iran bagi membolehkan pemulihan ekonomi yang cepat, namun kini telah menghentikan usaha itu.
“Saya terima kenyataan penuh kebencian dan kemarahan, dan serta-merta saya hentikan semua usaha berkaitan pelepasan sekatan dan banyak lagi,” katanya.
Dalam sidang akhbar di White House, Trump tidak menolak kemungkinan menyerang Iran sekali lagi, sekiranya difikirkan perlu untuk menyekat program nuklear negara itu.
“Sudah tentu, tanpa ragu,” katanya.
Trump turut menyatakanbeliau mahu pemeriksa dari Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) atau badan yang dihormati untuk menilai kerosakan di tapak nuklear Iran yang dibom.
Beliau menolak dakwaan bahawa kerosakan di tapak tersebut tidak seteruk seperti yang dinyatakan sebelum ini.
Ketua IAEA, Rafael Grossi, pada 25 Jun berkata, keutamaannya adalah untuk menyambung semula pemeriksaan ke atas tapak nuklear Iran kerana tiada lawatan dilakukan sejak pengeboman Israel bermula pada 13 Jun.
Namun, Parlimen Iran telah meluluskan usul pada 25 Jun untuk menggantung lawatan pemeriksaan.
Araghchi pada 27 Jun memberi isyarat bahawa Tehran mungkin akan menolak sebarang permintaan IAEA untuk akses ke tapak tersebut.
Trump menambah Iran masih mahu mengadakan perbincangan mengenai hala tuju masa depan, tetapi White House menyatakan pada 26 Jun bahawa tiada pertemuan dijadualkan dengan delegasi Iran setakat ini. – Agensi
















