Dua warga emas maut dalam kemalangan lima kenderaan di Jalan Sungai Rengit -Kota Tinggi semalam.

KOTA TINGGI – Dua warga emas maut manakala dua cedera dalam kemalangan lima kenderaan di Kilometer 66 Jalan Sungai Rengit -Kota Tinggi, dekat sini, semalam.

Kemalangan tersebut mengorbankan Thai Toon dan Lor Ah berusia 68 dan 73 tahun iaitu pemandu dan penumpang kereta Toyota Altis.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan tersebut pada pukul 4.10 petang daripada orang awam.

“Kemalangan melibatkan lima kenderaan iaitu Toyota Altis berkenaan, lori jenis Hino dipandu seorang lelaki tempatan, 49, kereta Proton Saga dipandu seorang lelaki tempatan, 26, kereta Perodua Bezza dipandu lelaki tempatan, 27, dan kereta Perodua Axia dipandu lelaki tempatan, 30.

“Kemalangan berlaku apabila Proton Saga hilang kawalan lalu melanggar belakang Perodua Bezza, Toyota Altis dan Perodua Axia dari arah bertentangan.

“Kemalangan itu menyebabkan Toyota Altis  hilang kawalan lalu melanggar lori berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, akibat kemalangan tersebut pemandu dan penumpang Toyota Altis berkenaan cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat ujarnya, dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat sementara pemandu Proton Saga dan Perodua Bezza turut dirujuk ke hospital sama.

Jelasnya, pemandu lori dan pemandu Perodua Axia tidak mengalami kecederaan dan ditahan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan lebih berwaspada ketika memandu bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi, PBK II Muhamad Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.17 petang sebelum tiba di lokasi 11 minit kemudian dengan enam anggota serta sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).

“Setibanya pasukan di lokasi, didapati ada dua mangsa yang tersepit. Pasukan penyelamat bertindak mengeluarkan dua mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas.

“Mayat kemudian diserahkan kepada legawai kesihatan dan polis untuk tindakan lanjut. Operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 5.47 petang,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast