Dr Dzulkefly melihat replika  HPG selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang, di Pasir Gudang, hari ini.

 

PASIR GUDANG – Hospital Pasir Gudang (HPG) yang dibangunkaon dengan kos keseluruhan RM500 juta akan mula beroperasi secara berfasa pada 1 Ogos ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, HPG adalah hospital awam yang ketiga di Johor Bahru, selepas Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan Hospital Sultan Ismail (HSI).

“HPG dijangka dapat mengurangkan kesesakan di HSA dan HSI apabila beroperasi secara penuh, Julai tahun hadapan.

“HPG akan mula beroperasi segera dalam fasa satu mulai 1 Ogos ini membabitkan 70 peratus perkhidmatan teras dahulu terutama Jabatan Perubatan Am dan Nefrologi, Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETS), Jabatan Pediatrik, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (Ok&G) dan pembedahan.

“Kementerian Kesihatan (KKM) berharap HPG akan beroperasi secara penuh mulai Julai 2026, membabitkan lebih 1,800 kakitangan dan ini akan mengurangkan bebanan dan tekanan kepada HSA dan HSI.

“Pakar-pakar kita pun sudah mula  mengambil penempatan di sini khususnya jabatan utama sebagai persiapan mula beroperasi 1 Ogos nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Hospital Pasir Gudang di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha KKM, Datuk Seri Suriani Ahmad;Ketua Pengarah JKR, Datuk Roslan Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon serta Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh.

HPG yang berkeluasan 20.6 hektar dan terletak di Bandar Seri Alam itu dilengkapi dengan 304 katil dan 14 perkhidmatan pakar.

Antara fasiliti HPG termasuk 36 unit blok kuarters kakitangan mengandungi Kelas G; 50 unit blok asrama jururawat selain sebanyak 1,507 lot parkir kereta,  320 lot tempat letak motosikal dan 32 lot tempat letak kereta orang kurang upaya (OKU).

Mengulas mengenai cadangan pembinaan Hospital Sultanah Aminah (HSA) 2 bagi mengurangkan kesesakan kritikal HSA, Dr Dzulkefly memaklumkan kerja awalan sudah dimulakan.

“KKM ingin maklumkan bahawa kerja awalan HSA 2 sedang giat dilaksanakan ketika ini. Maklumat lanjut akan dikongsikan apabila ia mencapai peringkat seterusnya,” katanya.

Bulan lalu, projek pembinaan HSA 2 dilaporkan kini dalam fasa akhir penyediaan kertas kerja, sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk perbincangan lanjut dan kelulusan pelaksanaan.

Tian Soon dilaporkan berkata, kemajuan itu dicapai selepas semua isu berkaitan pemilikan tanah dan kerja awalan diselesaikan sepenuhnya dengan kertas kerja dijangka diselesaikan, bulan lalu.

Tapak pembinaan hospital berkenaan dikenal pasti membabitkan sebahagian tanah milik Kementerian Pertahanan di Skudai dan telah diberikan kebenaran untuk dimajukan pembinaan HSA 2.

Kerajaan Persekutuan sebelum ini telah meluluskan peruntukan bagi kerja awalan melalui pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast