Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta mengumumkan sama ada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat diberi lanjutan masa enam bulan atau bersara wajib apabila mencapai umur persaraan 66 tahun, Rabu ini.

Selain beliau, Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim bakal bersara apabila mencapai usia 66 tahun Khamis ini sementara Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dijadual bersara Ogos ini.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh berkata, pengumuman itu akan meleraikan ketidaktentuan kedudukan ketiga-tiga hakim berkenaan dalam badan kehakiman.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang DAP berpendirian, tiada salahnya ketiga-tiga hakim tertinggi itu diberi tempoh lanjutan perkhidmatan selama enam bulan lagi kerana mereka telah melaksanakan tugas dengan baik.

“Ini bukan melibatkan seorang hakim, malahan tiga orang termasuk dua yang menduduki hierarki teratas badan kehakiman (Tengku Maimun dan Abang Iskandar). Penting untuk kerajaan menjelaskan mengapa khidmat mereka tidak dilanjutkan.

“Meskipun, tempoh lanjutan masa bukan automatik, tiada alasan mendesak yang tidak membolehkan khidmat ketiga-tiganya dipanjangkan enam bulan lagi.

“Tinggal beberapa hari sahaja Tengku Maimun dan Abang Iskandar akan bersara manakala Nallini juga tidak lama lagi, kerajaan sepatutnya membuat pengumuman kerana ia melibatkan kepentingan awam,” ujarnya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dalam kenyataannya, Ramkarpal berkata, kerajaan mengutamakan pembaharuan institusi kehakiman, namun beliau tidak faham bagaimana ia boleh dilaksanakan dalam keadaan ramai hakim Mahkamah Persekutuan akan bersara tahun ini.

Ujar beliau, ketiga-tiga hakim berkenaan telah melaksanakan tugas dengan baik selaras dengan sumpah jawatan mereka, sudah pasti ia mempunyai merit untuk mendapat lanjutan masa selama enam bulan lagi.

Oleh yang demikian, Ramkarpal yang juga seorang peguam berpendirian, penting untuk membenarkan status quo badan kehakiman diteruskan bagi memastikan kelancaran peralihan kumpulan hakim yang akan mengambil alih kelak.

Berdasarkan Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, tertakluk kepada peruntukan Fasal (2) hingga (5), seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai usia 66 tahun dan boleh dilanjutkan enam bulan lagi atas perkenan Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Ujar beliau, peruntukan itu bertujuan memudahkan pentadbiran keadilan yang perlu dilakukan dengan mengambil kira banyak kekosongan jawatan yang akan ditinggalkan oleh hakim Mahkamah Persekutuan apabila mencapai umur persaraan wajib 66 tahun.

Tengku Maimun yang dilahirkan di Kota Bharu, Kelantan dilantik memegang jawatan tertinggi kehakiman pada 2 Mei 2019 menggantikan Tan Sri Richard Malanjum yang bersara wajib.

Hari terakhir perkhidmatan beliau Selasa ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast