Mohamad bersama kepimpinan dan ahli sebelum Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek, Ledang, hari ini.

TANGKAK – Malaysia dan Indonesia boleh meneroka hasil bumi di kawasan Ambalat iaitu wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara sementara rundingan diteruskan.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, menerusi persetujuan itu kedua-dua negara akan dapat manfaat hasil daripadanya dengan situasi menang menang.

“Kita masih berdepan masalah teknikal dalam rundingan berkenaan Ambalat iaitu kawasan kita punya sempadan yang bersempadan dengan Indonesia.

“Ada kawasan-kawasan yang masih belum lagi dipersetujui kedua-dua pihak, masing-masing mengatakan ini kawasan dia. Malaysia kata sempadan kita, Indonesia kata sempadan dia.

“Jadi sudah berpuluh tahun begitu (perbincangan sempadan yang masih belum dimuktamad), mengapa pihak kita tidak meneroka hasil bumi di situ bersama-sama (Indonesia).

“Kedua-dua negara akan dapat manfaat di samping (pada masa sama) teruskan perbincangan atau perundingan berkenaan kawasan sempadan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Ledang di Dewan Putra Padang Lerek di sini hari ini.

Mohamad berkata, apabila cadangan menang menang itu disepakati, kedua-dua negara akan mendapat hasilnya dengan cara pembahagian terpulang kepada persetujuan.

“Malaysia dapat manfaat dan Indonesia pun dapat manfaat dalam masa berunding (tentang sempadan), kalau masing-masing berkeras tak mahu tolak ansur tak dapat apa,” katanya.

Terdahulu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto hampir mencapai kata sepakat berhubung Ambalat iaitu wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara.

Mohamad kemudian dilaporkan berkata, masih terdapat beberapa perkara termasuk di bahagian teknikal untuk mengenal pasti serta memuktamadkan kaedah kedua-dua negara dapat menikmati hasil bumi yang ada di Ambalat.

“Kajian telah dibuat, di laut situ mempunyai deposit minyak dan gas yang paling banyak, jadi mengapa perlu kita tunggu, kalau nak ikut persempadanan, sampai 20 ke 30 tahun tak boleh tercapai,” ujarnya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast