Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang doktor perubatan terkilan apabila membaca laporan mengenai seorang lelaki warga emas yang dihalau dari sebuah surau ketika sedang beriktikaf, hanya kerana dia bukan penduduk setempat dan tidak membayar bil utiliti surau tersebut.

Menerusi hantaran di Facebook, Dr Zubaidi Ahmad menegaskan, masjid dan surau bukanlah premis milik peribadi sehingga boleh dijadikan tempat memilih siapa yang layak memasukinya.

Dr Zubaidi Ahmad

“Saya rasa terkilan, bukan kerana isu bil, tapi kerana semangat memakmurkan rumah Allah.

“Kalau benar risau tentang bil, kita boleh nasihat dengan baik. Misalnya, ‘Boleh ya pakcik, guna kipas sekejap je sebab bil tinggi sikit bulan ni,” katanya yang juga seorang penceramah motivasi.

Menurut beliau, masyarakat sering merungut masjid dan surau sunyi tanpa jemaah, namun apabila ada individu yang ikhlas mahu menghidupkan rumah Allah dengan berzikir dan beriktikaf, mereka pula disambut dengan layanan yang kasar.

Beliau mencadangkan agar pihak pengurusan surau atau masjid mengambil pendekatan lebih berhemah seperti meletakkan notis sopan untuk mendidik jemaah tentang penggunaan elektrik tanpa menyentuh sensitiviti atau memperkecilkan status seseorang.

Dr Zubaidi turut mengingatkan, masjid adalah tempat untuk jiwa yang lelah dan hati yang mencari ketenangan, bukan tempat untuk mengukur sumbangan kewangan atau status kediaman.

“Dan kalau kita AJK, kita bukan pengurus premis, kita penjaga adab rumah Allah,” ujar.

Beliau turut berharap agar rumah-rumah Allah terus dimakmurkan dengan kehadiran insan yang berhati lembut, bukan yang dibayangi oleh sikap ego dan penindasan.

“Semoga Allah ampunkan kita semua. Dan semoga rumah Allah terus makmur dengan hati-hati yang lembut, bukan ego yang keras,” katanya penuh makna. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast