KUALA LANGAT – Anak lelaki kepada seorang warga emas yang diusir dari Musolla Halaman 11, Bandar Rimbayu, Teluk Panglima Garang, di sini, kira-kira tiga bulan lalu tidak menafikan insiden itu berlaku atas kesilapan seorang individu.
Bagaimanapun, keluarga Muhammad Fadhlullah Mohamad Fadzil, 32, mengambil pendekatan berdamai dan tidak berniat untuk memanjangkan isu tersebut.
“Bagi pihak keluarga, kami semua sebenarnya tak nak memanjangkan isu ini. Kami pun nak berdamai dan tak perlu lagi kita nak panjangkan.
“Kami semua insya-Allah memang sudah memaafkan. Ayah saya sendiri pun saya sudah memaafkan.
“Jadi insya-Allah mudah-mudahan kita semua dapat berdamai. Mudah-mudahan dapat ambil iktibar atas apa yang berlaku Insya-Allah,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Surau Al-Jannah, Bandar Rimbayu, di sini, hari ini.

Terdahulu tular video di media sosial seorang wanita dipercayai pengerusi Joint Management Body (JMB) Halaman 11 menghalau jemaah yang sedang beriktikaf dengan membaca al-Quran di dalam surau.
Tindakan itu dibuat dengan alasan lelaki berkenaan bukan penduduk di kawasan perumahan terbabit.

Wanita itu mendakwa bayaran semua bil utiliti rumah ibadat itu menggunakan wang daripada yuran penyelenggaraan penduduk.
Bagaimanapun, ahli jawatankuasa (AJK) Musolla Halaman 11 menafikan dakwaan tersebut dengan memaklumkan segala kos operasi berkaitan pengurusan surau menggunakan wang sumbangan orang ramai.
Dalam pada itu, Muhammad Fadhlullah selaku Imam 1, Surau Al-Jannah, Bandar Rimbayu, Teluk Panglima Garang, di sini, juga melahirkan rasa kesal kerana rumah ibadat itu dikaitkan dengan insiden membabitkan bapanya.
“Mungkin berlaku kekeliruan. Tempat berlakunya kejadian insiden yang seorang pakcik diusir daripada surau itu sebenarnya berlaku di Musolla Halaman 11 di Bandar Rimbayu.
“Ada pun di sini adalah Surau Al-Jannah Bandar Rimbayu, sedangkan tempat kejadian berlaku di Musolla Halaman 11 terletak dalam kawasan perumahan apartmen (Rumah Selangorku). Jadi, dua (surau) tempat yang berbeza,” katanya.

Muhammad Fadhlullah berkata, walaupun insiden itu berlaku di rumah ibadat bersebelah kawasan itu, namun pihaknya tidak bersetuju tindakan dan pendekatan yang digunakan wanita terbabit, apatah lagi membabitkan rakaman video.
“Perkara itu tidaklah dipersetujui kami semua Ahli Jawatankuasa (AJK) atas apa yang berlaku dan ia berlaku atas kesilapan seorang individu,” katanya.
Selain itu, katanya, insiden itu secara langsung sebenarnya membuka mata semua pihak pengurusan masjid dan surau agar memperbaiki mutu perkhidmatan rumah ibadat umat Islam di negara ini.
“Kita kena ambil hikmah di sebalik insiden tersebut. Mungkin Allah nak bagi teguran kepada kita semua pihak pengurusan surau dan masjid seluruh Malaysia agar memberikan satu perubahan dan khidmat terbaik kepada semua masyarakat.
“Sebab saya tengok rata-rata netizen, semuanya mereka mahukan satu perubahan. Mereka kongsi macam-macam keadaan masjid dan surau di kawasan masing-masing,” katanya.
Katanya lagi, Muhammad Fadhlullah berharap wanita terbabit diberikan hidayah oleh Allah SWT untuk menginsafi tindakan biadab itu, sekali gus menyelesaikan perkara itu dengan baik.
“Itu mungkin teguran daripada Allah untuk kita semua dan mudah-mudahan kepada semua termasuk kepada kakak itu, semoga diberi hidayah oleh Allah SWT.
“Jadi, saya rasa tak perlulah kita panjang-panjangkan lagi isu ini dan mudah-mudahan Allah berikan kebaikan untuk kita semua,” katanya. – MalaysiaGazette
















