BAYAN LEPAS – Seorang warga emas dilaporkan hilang ketika sedang mencari buah di kebun durian di Sungai Ara di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada jam 6.04 petang berhubung insiden tersebut.
“Sebaik menerima panggilan, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bayan Baru tiba di lokasi pada jam 6.12 petang dengan jarak lokasi kejadian dari balai adalah kira-kira tiga kilometer.
“Siasatan awal mendapati mangsa dikenali sebagai Daud, 65, dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti mencari buah di kebun durian berkenaan.
“Operasi pencarian dijalankan bersama anggota polis dan Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) di kawasan mangsa dilaporkan hilang.
“Namun begitu, sehingga jam 8 malam, mangsa masih gagal ditemui,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, selepas membuat perbincangan bersama pihak polis dan agensi terlibat, operasi pencarian ditangguhkan dan dijadualkan bersambung semula pada 8 pagi esok.
“Walau bagaimanapun, pihak polis meneruskan usaha pencarian melalui maklumat tambahan yang diperoleh daripada keluarga mangsa.
“Orang awam yang mempunyai maklumat atau ternampak kelibat mangsa diminta untuk segera menghubungi pihak berkuasa bagi membantu pencarian,” katanya. – MalaysiaGazette
















