Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP)

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengumumkan 12 Rakan Pelaburan Am global (GPs) yang disenarai pendek dengan peruntukan sebanyak RM6 bilion di bawah inisiatif Dana Pemacu.

Dana yang merangkumi dana konvensional dan patuh syariah akan disalurkan kepada tiga kelas aset utama iaitu Ekuiti Swasta, Infrastruktur dan Hartanah.

Ia akan memberi tumpuan kepada sektor ekonomi utama termasuk keselamatan makanan, pendidikan, ekonomi warga emas dan penjagaan kesihatan, peralihan tenaga, ekonomi digital, inklusi kewangan, serta keutamaan kritikal lain di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

KWAP dalam kenyataan berkata, GPs yang terpilih bagi kategori ekuiti swasta adalah Investcorp, Navis Capital Partners, Nexus Point dan The Vistria Group.

Manakala bagi infrastruktur, mandat diberikan kepada Climate Fund Managers, DigitalBridge, I Squared Capital dan Seraya Partners.

Di bawah mandat hartanah, GPs yang dipilih ialah Castleforge Partners Limited, Lendlease Investment Management Pte Ltd, Savills Investment Management, dan TrustCapital Advisors Investment Management Pte Ltd.

Jelas KWAP, sebagai sebahagian daripada model Co-GP di bawah Dana Pemacu, semua GP global turut memuktamadkan pemilihan rakan tempatan masing-masing setelah melalui proses penilaian menyeluruh dan kini sedang menjalani proses kelulusan kawal selia yang diperlukan.

Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Nik Amlizan Mohamed berkata, pihaknya menerima sambutan positif daripada GPs global sejak pelancaran Dana Pemacu dengan lebih daripada 40 penyertaan yang diterima untuk dipertimbangkan.

“Selepas proses penilaian dan ketekunan wajar yang ketat, kami telah menyenarai pendek 12 GPs global ini yang diyakini mampu menyumbang secara bermakna kepada ekosistem pasaran swasta Malaysia.

“KWAP mengiktiraf kekuatan para GP yang terpilih berdasarkan rekod prestasi dan pengalaman mereka dalam mengurus pelaburan dan memacu prestasi,” ujarnya.

Tambah beliau, selaras dengan objektif KWAP untuk menyokong ekonomi domestik, majoriti daripada jumlah pelaburan KWAP di bawah Dana Pemacu akan dilaburkan di Malaysia dan dalam peluang yang patuh Syariah.

Sebagai sebahagian daripada strategi kepelbagaian, baki dana akan dilaburkan di pasaran antarabangsa bagi menjana pulangan mampan jangka panjang yang disesuaikan dengan risiko.

“Di KWAP, kami komited untuk menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara dengan menyelaraskan matlamat pelaburan kami secara strategik melalui inisiatif seperti Dana Pemacu.

“Tumpuan kami terhadap pembangunan infrastruktur dan penciptaan peluang pekerjaan yang seterusnya menyumbang kepada kemajuan mampan membuktikan komitmen kami.

“Melalui pemerkasaan inovasi, pengupayaan bakat tempatan dan pengukuhan ekosistem pasaran swasta Malaysia, Dana Pemacu sejajar dengan prinsip Ekonomi MADANI dalam membina ekonomi masa depan yang berdaya tahan, inklusif dan makmur,” katanya lagi.

Dilancarkan pada Mei 2024, Dana Pemacu memainkan peranan penting dalam memacu transformasi ekonomi Malaysia melalui pelaburan yang strategik, pelbagai dan berdaya komersial, bagi meningkatkan nilai serta impak pelaburan GLIC.

Inisiatif itu memberi tumpuan kepada pelaburan yang dirancang dengan teliti sejajar dengan keutamaan negara ke dalam syarikat Malaysia yang berpotensi tinggi dan sektor-sektor kritikal. -MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast