Anwar mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur di Putrajaya. 30 Jun 2025. FATH RIZAL/Pejabat Perdana Menteri.

KUALA LUMPUR – Majlis Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus menunjukkan prestasi cemerlang apabila merekodkan pelaburan direalisasikan berjumlah RM6.4 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah pelaburan itu turut berjaya mewujudkan lebih 2,800 peluang pekerjaan baharu di rantau berkenaan.

“Saya turut meneliti petunjuk utama kemajuan ECER dan membincangkan kerangka hala tuju pembangunan wilayah ini di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas yang sedang giat disediakan kerajaan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook hari ini.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan mempengerusikan Mesyuarat ECERDC yang antara lain membincangkan kemajuan semasa dan prestasi indikator utama koridor ekonomi tersebut.

Menurutnya, lapan projek strategik dan berimpak tinggi di bawah Pelan Pembangunan ECER dijangka siap menjelang akhir tahun ini, sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di wilayah Pantai Timur.

Dalam mesyuarat itu juga, Perdana Menteri menekankan kepentingan strategi jangka panjang dalam menarik pelaburan berkualiti, termasuk memperkukuh peralihan teknologi dan pembangunan kemahiran tempatan.

“ECERDC perlu terus bergerak secara efisien dan proaktif agar Wilayah Pantai Timur kekal sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di peringkat nasional dan antarabangsa,” ujar beliau. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast